14 Januari 2013

Kebajikan Penduduk Rh Mangun Diabaikan Serta Tiada Kemudahan Asas

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

NIAH –Rumah (Rh) Mangun sungai Sebatuk, Suai terletak dalam DUN Bekenu. Majoriti penduduknya kaum Iban dan ada juga keluarga Muslim tinggal di rumah panjang tersebut.  Kebanyakkan mereka bekerja sebagai petani dan ada juga bekerja dengan syarikat swasta.

Perjalanan dari bandaraya Miri ke Rh Mangun di Pekan Niah mengambil masa lebih dari 1 jam. Jalan masuk ke Rh Mangun lebih kurang 2 kilometer, jalannya agak teruk dan berlumpur. Apabila musim hujan jalannya becak dan licin.

Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk di Rh Mangun adalah jalanraya dan juga bekalan air bersih. Mereka sudah banyak kali memohon kepada pihak berkuasa untuk menurap jalan masuk kampung dengan tar dan juga menyalurkan bekalan air bersih, tetapi sehingga kini masalah tersebut belum dapat diatasi.

Mereka terpaksa menadah air hujan untuk keperluan harian mereka, apabila musim kemarau mereka terpaksa menggunakan air sungai yang berdekatan. Menurut mereka lagi, air sungai tersebut tercemar dengan bahan sisa dari ladang kelapa sawit yang berdekatan.  Air takungan kering serta sukar untuk mendapat air bersih apabila musim kemarau. Mereka juga belum menerima tangki 1Malaysia dari pihak kerajaan, sedangkan ada rumah yang berdekatan dengan Rh Mangun mendapat tangki tersebut.

Selain masalah jalanraya dan bekalan air bersih, terdapat seorang warga emas dan juga ibu tunggal mengadu masalahnya kepada pihak kami. Sengayan Anak Jinga berumur 76 tahun telah beberapa kali mohon bantuan dari pihak jabatan kebajikan masyarakat Miri tetapi sehingga kini beliau belum mendapat sebarang bantuan.

Menurut beliau lagi, setelah kematian suaminya 10 tahun yang lalu sehingga kini tiada sebarang bantuan diterima dari jabatan kebajikan masyarakat. Beliau sangat berharap pihak kebajikan dapat membantu meringankan bebannya dengan segera setelah sekian lama menunggu.

Kita mengesa pihak berkuasa serta mereka yang berkenaan segera membantu rakyat yang memerlukan bantuan dan kebajikan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Begitu juga masalah infrastruktur, kemudahan asas serta kebajikan rakyat perlu diberi perhatian dan jangan hanya menunggu musim tertentu barulah datang untuk membantu.

Kita berharap pihak yang berkenaan dapat menyelesaikan masalah tersebut dengan segera dan kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat dihargai.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak


Tiada ulasan: