Seorang pemandu teksi berusia awal 50-an yang saya tumpangi dari
Stesen Monorel Bukit Nenas untuk ke Central Market pada petang Jumaat 11
Januari 2013 begitu rancak bercerita tentang kebanjiran ramai orang di
sekitar Kuala Lumpur hari tersebut. Lumayan sungguh pendapatannya hari
ini, dari awal pagi sehingga hampir jam 4.30 petang, kira-kira RM1,000
telah masuk ke poketnya.
Saya hanya memberi komentar ringkas dalam rangka mahu menguji sejauh
mana minatnya untuk bercakap tentang himpunan yang bakal berlangsung
keesokannya, “Alhamdulillah… syukur atas rezeki kurnian Allah.”
Pak Cik teksi itu bertanya lagi, “Agak-agak esok ada gas tak?” Juga
jawapan ringkas saya berikan. “Entahlah Pak Cik, dengar khabarnya
himpunan esok mendapat permit polis.”
“Ada permit pun, bukan boleh percaya sangat dengan polis ni! Esok dia
buat perangai gila, habisss..” Bebelnya dengan nada penuh kekesalan
atas perlakuan dan tindakan polis semasa himpunan-himpunan yang telah
lepas.
“Himpunan Bersih yang terakhir baru ni, Pak Cik pun kena gas. Aduh! Pedih sekali…”
Dengan nada bergurau saya menyampuk, “Pak Cik tahu dah kawasan tu ada demonstrasi, buat apa pergi bawak teksi kat situ?”
Sambutnya…“Ha…ha…ha… bukan Pak Cik pergi bawak teksi kat situ, Pak
Cik pun hadir sekali himpunan tu, kena kejar polis, kena air kimia, kena
gas…”
“Ha…ha…ha… Kalau begitu, kita senasiblah Pak Cik, saya pun kena kejar, kena gas sama macam Pak Cik jugak…”
“Jadi… adik mari KL ni, nak hadir himpunan esoklah?” soal Pak Cik tu lagi.
“Sudah semestinya!” jawab saya lagi.
“Ha…ha…ha… kita serupa rupanya…” ketawa Pak Cik tu lagi.
“Itulah Pak Cik ni… Polis tak bagi pergi, Pak Cik degil! Pergi jugak…
Kan dah boleh rasa ubat resdung.” Gurau saya lagi sehingga Pak Cik
teksi itu terus ketawa besar.
Ketika sampai ke destinasi Pasar Seni dan bersalaman dengannya,
sempat saya memaklumkan bahawa saya adalah salah seorang pimpinan PAS
Terengganu yang pernah bertanding mewakili PAS dalam pilihanraya,
tangannya mengenggam erat tangan saya sambil berkata, “Insya Allah kita
kuburkan BN dalam pilihanraya akan datang!”
Jam 12.30 tengah hari, Sabtu 12 Januari 2013. Ketika pintu Stadium
Merdeka mula dibuka, saya diantara peserta awal yang memasuki stadium,
berjemur panas di tempat duduk terbuka ketika tempat duduk stadium hanya
sekitar ¼ dipenuhi orang ramai.
Dalam ingatan, kali pertama dan terakhir saya menjejakkan kaki ke
dalam Stadium Merdeka sebelum ini adalah pada tahun 1992 ketika menuntut
di Universiti Malaya. Sekadar untuk melepaskan tekanan belajar, dengan
motosikal cabuk Honda Cup buruk, saya datang ke Stadium untuk
menyaksikan satu perlawanan Liga Semi Pro ketika itu antara pasukan
Brunei dan Tentera.
Kalau tak kerana himpunan HKR KL #112 ini, mungkin benar itulah kali
pertama dan terakhir saya mengunjungi tempat di mana kemerdekaan negara
diistiharkan oleh Tunku Abdul Rahman.
Duduk bersebelahan dengan seorang lelaki Cina yang rancak bercerita.
“PAS sekalang ini bagus woo… talak macam dulu lagi. Tengok… itu Melayu,
Cina, India semua boleh pakai baju PAS! Termasuk saya juga.” Ujarnya
dengan sedikit nada bangga apabila memakai t-shirt bertulis ‘Pas Untuk
Semua’.
“Dalam isu itu tuhan Allah… saya tengok itu Tok Guru sangat cerdik..”
Komennya lagi mungkin mengulas isu penggunaan kalimah Allah oleh
penganut Kristian.
“Saya pun agama kristian, tapi saya boleh terima itu penjelasan Tok Guru.”
Sebagaimana biasa, saya suka menjadi pendengar setia dan cuba untuk
menangkap butir-butir bernas yang boleh dijadikan bahan penulisan sambil
berfikir bahawa mungkin dia telah meneliti kenyataan akhbar Tuan Guru
Presiden dalam isu penggunaan kalimah Allah.
“Uncle agak penuh tak stadium ni hari ni?” soal saya untuk menyambung
topik perbualan. “Mesti penuh sesak woo… you tengoklah sendiri nanti!”
“Uncle asal dari mana?” saya ingin mengenalinya lebih lanjut sambil menghulurkan bisness kad saya kepadanya.
“Saya orang KL… Wah! You keleja doktor yaa..! manyak bagus…” “Itu olang-olang cerdik tarak mau sokong BN lagi!”
“Ya lah uncle… saya dah sokong PAS semenjak dalam perut mak saya lagi.” Gurau saya. “Oooo… itu macam kaaa?”
“Ha… ha… ha…!” kami sama-sama ketawa.
“Lepas pilihanraya nanti, kita kasi masuk itu BN dalam nuseum.” Gurau
apek itu lagi dengan penuh kemesraan sehingga kehangatan cuaca pada
petang itu tak begitu terasa.
Melihat jam masih awal, stadium pun masih banyak kekosongan, saya
mengajak uncle Cina tersebut keluar mencari minuman dahulu. Kebetulan
yang terdekat ditemui hanyalah minuman dalam tin 100 plus.
“O.k uncle! Hari ni tak ada gas, mari kita minum air gas!”
“Ha… ha… ha…” Apek tu ketawa besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan