8 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
Baru-baru
ini rombongan PAS, PKR dan DAP bersama-sama dengan penduduk asal
Sarawak telah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Miri menuntut
agar mereka diberi taraf kerakyatan yang sah sebagai warganegara
Malaysia.
Rombongan
PAS diwakili oleh Robby Tandang Ketua Pemuda PAS Sibuti, bersama dengan
Dr Teo dari PKR dan YB Alan Ling dari DAP. Mereka telah berjumpa dengan
pegawai JPN Miri ingin tahu masalah sebenar yang dihadapi oleh pribumi
yang tidak boleh mempunyai kad pengenalan / MyKad. Menurut para pegawai
tersebut semua keputusan bergantung dengan Kementerian Dalam Negeri,
kerana mereka yang berkuasa untuk menerima atau menolak sesuatu
permohonan.
Sebelum
ini kami juga menerima banyak aduan dari penduduk asal di kawasan
parlimen Sibuti yang mereka tidak memiliki kad pengenalan dan juga tidak
memiliki surat beranak. Mereka sudah banyak kali mengadu masalah ini
kepada pihak JPN di Miri tetapi sehingga kini tiada jawaban yang diberi
mengapa mereka masih belum lagi dapat memiliki Mykad. Mereka juga kesal
dengan sikap pihak JPN yang tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara
Malaysia sedangkan mereka adalah penduduk asal bukannya pendatang
asing.
Menurut
mereka pemohonan ditolak dengan alasan mereka tidak memiliki dokumen
yang lengkap serta tiada surat beranak walaupun ada diantara mereka ini
sudah mendapat pengesahan dari Tuai Rumah yang mereka adalah penduduk
asal di kawasan tempat mereka tinggal.
Disebabkan
mereka tidak mempunyai kad pengenalan, mereka terus terpinggir dan
nasib mereka lebih teruk dari pendatang tanpa izin. Mereka tidak
mendapat bantuan kebajikan, BR1M dan bantuan persekolahan. Anak-anak
mereka tidak dapat bersekolah dan melanjutkan pelajaran sehingga ke
peringkat universiti akibat tiada kad pengenalan.
Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian
Dalam Negeri. Ia bertanggungjawab dalam urusan mendaftar setiap individu
seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan
perceraian. Di samping itu JPN juga bertanggungjawab dalam menentukan
taraf kewarganegaraan dan seterusnya mengeluarkan dokumen identiti
individu dalam bentuk kad pengenalan kepada mereka yang layak.
Sepatutnya
JPN yang bertanggungjawab dalam urusan pendaftaran orang awam, turun
padang berjumpa dengan rakyat tempatan yang masih belum memiliki kad
pengenalan dan surat beranak terutama sekali penduduk tempatan yang
tinggal jauh di pedalaman.
Ada
beberapa sebab kenapa ramai penduduk asal Sarawak terlalu sukar untuk
mendaftar dan memiliki surat beranak kerana faktor jalan penghubungan
sukar ditembusi serta kos pengangkutan yang mahal terutama sekali yang
tinggal jauh di pedalaman. Setelah sekian lama mereka menanti, mereka
berharap pemohonan mereka untuk memiliki kad pengenalan mendapat
pertimbangan yang sewajarnya dari pihak kerajaan dan Kementerian Dalam
Negeri demi masa depan mereka dan anak cucu mereka.
Kami mengesa agar pihak Kementerian Dalam Negeri yang berkuasa dalam memberi dan mengeluarkan
dokumen identiti individu dalam bentuk kad pengenalan kepada penduduk
asal Sarawak. Jangan biarkan penduduk asal Sarawak hak mereka diceroboh
dan terus terpinggir dari arus pembangunan kerana mereka adalah penduduk
asal yang sepatutnya diberi hak sebagai warganegara yang sah bukannya
pendatang asing.
Kita mengesa agar pihak kerajaan jangan pilih bulu dalam mengatasi masalah rakyat ini. Kita harap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat dihargai.
Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan