19 Februari 2013

Mesir dilanda gelombang protes anti-Mursi

Mesir dilanda gelombang protes anti-Mursi8 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Mesir dilanda gelombang protes anti-Mursi
 
SELEPAS revolusi kebangkitan rakyat kira-kira dua tahun lalu, Mesir dikatakan sudah mengalami perubahan walaupun negara itu masih dibayangi pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak selama tiga dekad.

Sebagai contoh, kira-kira dua minggu lepas ketika di satu persidangan di Kaherah, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas tersasul memanggil Presiden Mohammed Mursi sebagai Hosni sebelum beliau segera membetulkan kesilapan itu.

Perjuangan rakyat menerusi protes besar-besaran selama 18 hari untuk menuntut hak mereka menyaksikan Mubarak digulingkan pada 11 Februari 2011.

Pengunduran beliau dilihat memberi harapan baru kepada rakyat Mesir untuk menjalani kehidupan lebih baik di bawah pemerintahan pemimpin baru.

Pada masa ini, segelintir rakyat merasakan pakej ikrar Mursi yang dijanjikan beliau ketika kempen pilihan raya presiden pada tahun lalu masih gagal ditepati hingga kini walaupun pemimpin itu cuba sedaya upaya untuk memuaskan hati semua pihak.

Seorang wanita yang enggan dikenali  menyertai gelombang protes baru di Dataran Tahrir turut menyuarakan kekecewaannya.

“Tidak ada apa yang berubah selepas negara ini bertukar kepimpinan. Presiden Mursi tidak melakukan sebarang perubahan untuk kami,” katanya.

Masih di takuk lama

Pada sambutan ulang tahun ke-2 revolusi kebangkitan rakyat di negara itu baru-baru ini, Dataran Tahrir kekal menjadi titik tumpuan protes penduduk.

Protes yang tercetus sejak November lalu dikatakan sekali lagi berpunca akibat rasa tidak puas hati penduduk.

Rakyat juga mendakwa kepimpinan Mursi lebih memberi tumpuan kepada kepentingan Ikhwanul Muslimin dan kegagalan untuk beliau merealisasikan matlamat revolusi.

Ahli politik sosiologi, Said Sadek dari Universiti Amerika di Kaherah menyatakan bahawa beliau percaya bahawa situasi di Mesir akan menjadi lebih buruk sebelum bertukar ke fasa lebih baik berdasarkan rentetan sejarah sebelum ini.

“Kita perlu sentiasa ingat bahawa selepas era revolusi, presiden dan sesebuah kerajaan termasuk keselamatan, negara itu akan menjadi lemah,” jelasnya.

Pencapaian Mursi yang baru menyandang jawatan Presiden kira-kira lapan bulan tidak boleh secara terus dibandingkan dengan rejim Mubarak berusia lebih 30 tahun.

Sejak beberapa minggu lalu, kebanyakan golongan muda di Mesir menyertai tunjuk perasaan bertujuan untuk menagih janji Mursi.

Mereka semakin hilang sabar kerana banyak kekurangan melibatkan infrastruktur dan kemudahan yang masih berada di takuk lama hingga kini.

Kebanyakan rakyat terutamanya golongan belia juga tidak pernah putus asa membawa harapan dua tahun lalu untuk mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan lebih baik di bawah pemerintahan presiden pertama yang dipilih secara demokrasi.

Pengaruh Ikhwanul Muslimin makin kuat

Dalam tempoh 24 bulan ini, negara itu dilihat telah berpecah kepada tiga cabang: tentera dan penyokong rejim Mubarak; Ikhwanul Muslimin; aktivis liberal dan sekular.

Menjelang akhir tahun lalu, pengaruh Ikhwanul Muslimin dilaporkan semakin kukuh di Mesir selepas Mursi menyingkirkan pemerintah tentera beberapa bulan selepas beliau dilantik sebagai presiden.

Kedudukan Mursi sebagai pemimpin tertinggi telah memberi banyak kelebihan kepada Ikhwanul Muslimin yang turut diberi kepercayaan memegang portfolio penting di negara tersebut.

Proses peralihan untuk membawa negara itu kepada pemerintahan bercorak demokrasi juga dikatakan makin sukar selepas banyak pihak mula mempersoalkan kredibiliti pemimpin itu yang didakwa hanya berusaha menonjolkan dirinya sebagai pemimpin berkarisma di rantau Arab.

Selain itu, ada pihak mempertikaikan beliau menggunakan dasar luar untuk meraih populariti berbanding mengotakan janjinya kepada rakyat.

harakah/-

Tiada ulasan: