KUALA
LUMPUR 18 Dis: Hampir RM200 bilion wang kotor mengalir keluar dari
Malaysia pada tahun 2010 – meletakkan negara ini di tempat kedua di
belakang kuasa ekonomi Asia, China, dalam pengaliran modal global.
Badan pemantau – Global Finandial Integrity (GFI) yang berpangkalan
di Washington – dalam laporan terbarunya yang menjejaki pengaliran modal
berkata, tahap pengaliran wang haram dari Malaysia itu pada tahun 2010
adalah yang tertinggi dalam tempoh 10 tahun.
GFI telah memperkenalkan kaedah baru dan lebih konservatif dalam
membuat anggaran aliran keluar wang haram, yang membantu untuk memberi
tumpuan ekslusif terhadap wang kotor. Oleh itu, anggaran dari laporan
terdahulu telah disemak semula.
Tahun
lepas, GFI telah meletakkan angka aliran keluar wang haram bagi
Malaysia pada tahun 2009 ialah AS$46.86 bilion (RM143.3 bilion). Ini
telah diubah kepada AS$30.41 bilion (RM93 bilion).
Laporan terbaru mendapati lonjakan dramatik pengaliran modal di
Malaysia – dari AS$30.41 bilion (RM93 bilion) pada tahun 2009 kepada
AS$64.38 bilion (RM196.8 bilion) pada tahun 2010.
GFI belum memperolehi data untuk 2011 dan 2012, tetapi ini akan dimasukkan ke dalam laporan yang akan datang.
Pemantau kewangan global itu telah memberi amaran bahawa pengaliran
modal di Malaysia adalah “pada skala yang dilihat di beberapa negara
Asia”.
Laporan GFI – ‘Aliran Kewangan Haram Dari Negara Membangun:
2001-2010′ – dihasilkan bersama oleh ahli ekonomi GFI, Sarah Freitas dan
Dev Kar, yang merupakan bekas ahli ekonomi kanan di Tabung Kewangan
Antarabangsa (IMF).
Menurut GFI, bagi aliran keluar wang haram terkumpul sepanjang lebih
10 tahun – dari 2001 hingga 2010 – Malaysia berada di kedudukan ketiga
di dunia, selepas China dan Mexico.
Jumlah anggaran untuk tempoh 10 tahun bagi Malaysia ialah AS$285
bilion (RM871.4 bilion), manakala bagi China ialah AS$2,740 bilion, dan
Mexico, AS$476 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempertikai angka GFI dan
memaklumkan kepada Parlimen tahun lepas angka yang lebih rendah sebanyak
RM135.3 bilion bagi aliran keluar modal haram 2000-2009.
Bagaimanapun, data GFI disokong oleh penyelidikan yang berbeza awal
tahun ini oleh organisasi lain – Tax Justice Network yang berpangkalan
di London – yang mendapati Malaysia adalah antara negara teratas di
dunia dalam aliran modal. – Malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan