Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad
KOTA BHARU - Saban tahun berlaku pelbagai insiden setiap kali tibanya Hari Kekasih, walaupun pelbagai kempen dilakukan agar umat Islam tidak terlalu ghairah meraikannya sehingga mengabaikan hukum agama.

Lebih menyedihkan ramai dalam kalangan umat Islam bagaikan mengagungkan budaya barat itu kononnya takut dilabel ketinggalan zaman dan tidak mengikut perkembangan semasa.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Valentine Day atau hari memperingati kekasih yang disambut 14 Februari setiap tahun bukan budaya Islam, dan bercanggah dengan ajaran Islam.

Sambil mengingatkan umat Islam lebih mengenal diri dan tidak berselindung di bawah bayangan orang lain, Mohamad Shukri berkata, kita tidak seharusnya terjerat dengan sambutan hari memperingati kekasih yang jelas bertentangan dengan syariat.

“Umat Islam dinasihat mengenal diri dan jangan mengagungkan budaya orang lain, sebaliknya hiduplah dengan budaya kita, serta berkembang maju dengan ajaran Islam,” katanya, semalam.

Menurutnya, umat Islam sepatutnya kagum dengan Islam dan tidak merasa rendah diri sehingga sanggup mengetepikan ajaran agama.

Beliau turut mengingatkan agar umat Islam tidak terlalu ghairah dengan budaya barat sehingga lupa kemuliaan dan kesempurnaan ajaran Islam.

“Jangan sesekali bersandar pada budaya barat kerana ia bagaikan berpaut pada tiang rapuh, yang boleh menyebabkan kita tersungkur. Bersandar dan berpeganglah pada agama ALLAH, ia tidak akan runtuh kerana mempunyai kekuatan sendiri,” katanya.

sinar/-