07 Februari 2013

Kubur dalam hutan

26 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Kubur dalam hutan
Nik Lah (kiri) menemui satu kubur yang dipercayai meninggal dunia sekitar 1960-an lalu.
Kubur dalam hutan
Mamad (kiri) Nik Lah (tengah) dan Hassan (kanan) mencari batu nisan di kawasan kebun.
PASIR MAS - Jangan terkejut sekiranya anda bertemu kubur di dalam kebun dan belukar dekat To’ Uban. Lebih mengejutkan, apabila ada sebahagiannya mencatatkan tarikh 1900 atau hanya menggunakan batu sungai sebagai penanda.

Kubur tak dirizab

Penduduk, Mamad Ismail, 80, berkata, terdapat lebih 10 tanah kubur dibuka sekitar 1900-an dan sebahagiannya tidak dirizabkan. Dalam setiap tanah kubur pula katanya, terdapat kurang daripada 20 batu nisan memandangkan taburan penempatan ketika itu tidak tertumpu dalam satu-satu kawasan sahaja.

Menurutnya, taburan penempatan lebih tertumpu di sepanjang sungai kerana pengangkutan utama ketika itu adalah bot dan perahu.

“Beberapa kampung yang dibuka juga hanya mencapai kurang daripada 20 keluarga, maka tidak hairanlah tanah kubur hanya mempunyai kurang 20 batu nisan.

“Tanah perkuburan ini juga dibuka berdekatan dengan rumah mereka bagi memudahkan urusan pengebumian kerana tiada sebarang kenderaan bermotor dicipta ketika itu,” katanya, semalam.

Kampung tinggal jadi hutan

Pembukaan jalan raya pada 1940-an menyebabkan banyak kampung di pedalaman dikosongkan sehingga sebahagian daripadanya menjadi kebun dan hutan.

Penduduk, Hassan Mat Diah, 75, berkata, kemudahan infrastruktur jalan yang dibuka menyebabkan penduduk memilih untuk membuka penempatan baru dan mengosongkan kampung sedia ada.

“Kesannya, kubur di kampung itu dilitupi semak sekali gus menjadi kebun dan hutan. Secara tidak langsung membantutkan usaha untuk menjejaki tanah kubur lama,” katanya, semalam.

Anggap kubur lama sebagai keramat

Kampung kosong yang berubah menjadi kebun, kini diwarisi generasi baru. Penduduk, Nik Lah Nik Soh, 75, berkata, kebanyakan generasi kini tidak menyedari tanah pusaka mereka, dahulunya pernah dijadikan sebagai tanah perkuburan.

Menurutnya, ada yang mengekalkannya sebagai tanah wakaf namun ada juga pewaris yang enggan menyerahkannya untuk kegunaan awam.

“Mereka terpaksa menggali semula kubur dan menanamnya di tanah perkuburan Islam terdekat.

“Penggunaan batu sungai menyebabkan ada sebahagian pewaris tidak menyedari tanah mereka pernah digunakan sebagai tanah perkuburan,” katanya, semalam.

Nik Lah yang juga Timbalan Pengerusi Pekida Kelantan berkata, ada beberapa kubur yang berjaya dipulihara dan dibersihkan agar ia tidak dilitupi hutan sepanjang masa.

Sekiranya tidak dibersihkan, kubur ini akan tersembunyi di dalam kebun seterusnya terhindar daripada pandangan umum.

Ini juga katanya, dapat mengelak daripada terhindarnya perbuatan khurafat daripada masyarakat yang jahil tentang agama.

“Masih ramai yang menganggap kubur lama sebagai keramat dan mampu memberi pelbagai kebaikan kepada pemuja,” katanya, semalam.

sinar/-

Tiada ulasan: