07 Februari 2013

7 anggota tentera ditahan kerana sertai HKR112

26 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Kelab Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (Kerabat) akan menyediakan bantuan guaman untuk semua anggota tentera yang ditahan kerana menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) baru-baru ini.

Pengerusinya, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (gambar) berkata, pihaknya mendapat maklumat sekurang-kurang 7 anggota tentera ditahan kerana dituduh terlibat dalam himpunan itu.

Kesemua mereka kini ditahan di kem masing-masing untuk tujuan penyiasatan.

"Kami akan sediakan peguam untuk kesemua mereka. Sehingga kini, peguam Mohamed Hanipa Maidin sedia untuk membantu," kata beliau kepada Harakahdaily.

Ketika ditanya, apakah peguam boleh mewakili anggota tentera yang sedang bertugas ketika dibicarakan di kalangan mereka, Nazari berkata, "boleh".

Menurut Nazari, lebih 1,000 anggota tentera yang sedang bertugas dan sudah bersara menyertai himpunan baru-baru ini.

Mereka menyertainya kerana mahu menyampaikan mesej kepada kerajaan bahawa kebajikan dan keperluan mereka tidak dijaga dengan baik.

harakah/-

Tiada ulasan: