07 Februari 2013

Pendedahan Anak tarik peneroka bersama Pakatan

26 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


SIK: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Negeri Kedah mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Daerah Sik kerana membenarkan Presiden Anak, Mazlan Aliman berucap selama satu jam berpentaskan kenderaan pacuan empat roda di Felda Teloi Timur, malam semalam.

Ini, kata Pengerusinya, Zolkifli Abu Seman menyebabkan pihak pengurusan Felda bersama samseng Umno yang sebelum itu bising terus diam mendengar apa yang mereka tidak tahu selama ini.
Beliau berkata, sikap polis yang profesional menghalang segelintir pihak pengurusan Felda Teloi Timur dan samseng Umno wajar dipuji kerana hasilnya Anak dapat juga memberikan penerangan walaupun ia ditentang keras oleh sekumpulan mereka yang agresif di pintu masuk Felda berkenaan.

Menurutnya, mungkin peristiwa semalam menggamit ramai peneroka Felda keluar untuk melihat dan mendengar sendiri apa yang diperkatakan pada ceramah tersebut.

Jika selalunya kata Zolkifli, apabila ceramah di kawasan Felda yang hadir tidak sampai 400 orang tetapi malam semalam melebihi 1,500 orang termasuk samseng Umno.

Jelasnya, fakta yang diberikan oleh Mazlan akhirnya memukau para hadirin apabila suasana yang sebelum itu penuh dengan maki hamun, kata-kata nista kepada PAS dan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak akhirnya bertukar sepi, seolah-olah mereka tertarik dan ingin tahu perkembangan Felda masa kini.

"Bersyukur kepada Allah s.w.t kerana walaupun tidak boleh memijak kaki ke dalam FeldaTeloi Timur dapat juga berada di pintu masuk. Apa yang penting ialah kesan di sebalik perbuatan berkenaan," terangnya.

Beliau tidak menyalahkan peneroka sebaliknya lebih kepada Umno dan pentadbiran Felda yang bertindak menutup isu daripada pengetahuan mereka.
Jika pendedahan demi pendedahan Anak dapat dilakukan, beliau yakin peneroka akan bersama Pakatan Rakyat.

harakah/-

Tiada ulasan: