07 Februari 2013

LTAT: Kerabat terkejut dengan pendedahan Deepak

26 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Kelab Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (Kerabat) melahirkan rasa terkejut dengan pendedahan yang dibuat oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan semalam berkaitan salah guna dana  anggota tentera dalam kes pembelian Astacanggih Sdn Bhd.

Sehubungan dengan itu, Pengerusinya, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (gambar) berjanji akan memperjuangkan perkara ini dan akan menggerakkan ahli kelabnya bagi memperjuangkan isu ini.

Dalam pertemuan Deepak Jaikishan dengan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar semalam, beberapa dokumen berkaitan penyelewengan ini didedahkan.

Sehubungan itu, Mahfuz menggesa Pengerusi Boustead Holdings Berhad tampil memberikan penjelasan berhubung pembelian Astacanggih Sdn Bhd milik ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

Beliau berkata, penjelasan itu penting kerana pembelian tersebut didakwa melibatkan wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan anggota tentera.

Mahfuz berkata, dokumen yang ditunjukkan oleh Deepak kepada beliau amat mengejutkan tentang jenayah penyelewengan oleh pemimpin negara.

(Mahfuz dan rakan-rakannya melihat dokumen yang ditunjukkan Deepak semalam)

"Oleh itu saya minta pengerusi Bousted tampil ke depan dan jelaskan siapa sebenarnya yang mengarahkan beliau membeli syarikat milik Deepak ini yang membawa kerugian besar kepada kepentingan anggota dan bekas tentera.

"Saya minta beliau tampil sebelum dikambing hitamkan," kata Mahfuz.

"Saya akan gerakkan anggota kelab saya untuk memperjuangkan hal ini. Sebagaimana yang saya sebutkan sebelum ini, penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat hal ini sangat perlu," kata Kolonel Nazari.

Beliua masih yakin, inilah caranya untuk merungkai semua ini agar pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

"Apa guna kami berjuang untuk negara selama ini jika kepentingan dan kebajikan kami pun tidak dijaga dengan baik," kata beliau.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: