22 Februari 2013

Rakyat setempat teruja treler Negara Berkebajikan

11 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


BAYAN BARU: Pengunjung sekitar tapak perniagaan up-town Bandar Perda di sini teruja dengan treler Jelajah Negara Berkebajikan PAS yang dijadikan pentas ceramah dalam masa yang singkat.

Konvoi jelajah yang tiba di destinasi kedua pada pukul 10.30 malam tadi selepas Manjoi, Perak memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk melihat lebih dekat keistimewaan treler tersebut.

Dalam pada itu, pihak Badan Bertindak Hapuskan Tol Jambatan Pulau Pinang (Hapus) turut mengambil kesempatan untuk berucap di pentas ceramah treler itu.

Pengerusinya, Zolkifly Md Lazim berharap rakyat Pulau Pinang terus mengekalkan pemerintahan Pakatan Rakyat demi pembelaan yang lebih terjamin.

Malah menurut beliau lagi, Hapus akan terus berjuang untuk menuntut agar kerajaan menghapuskan tol jambatan Pulau Pinang dan bukannya bertindak menyambung terus konsesi.
"Rakyat Pulau Pinang perlu terus mengekalkan pentadbiran yang ada sekarang demi kesejahteraan yang berkekalan.

"Dengan tindakan ini saja kehidupan kita akan terus terjamin, pembelaan rakyat terus diutamakan sepenuhnya," kata beliau.

Zolkifly yang bangga kerana dapat berdiri di atas pentas treler jelajah yang menjadi kebanggaan PAS itu merasakan ia merupakan satu isyarat jelas Pakatan Rakyat akan tampil sebagai Kerajaan Pusat pada pilihanraya umum nanti.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Bayan Baru, Dzulfahmi Abu Bakar menghargai anggota konvoi jelajah itu dan komitmen mereka merupakan pemangkin kepada kejayaan PAS pada pilihanraya nanti.

Beliau yang mahu setiap anggota jentera PAS dan rakyat terus memberi sokongan kepada konvoi jelajah yang singgah di setiap daerah dan negeri.

Katanya, dengan adanya konvoi jelajah itu, PAS dapat mendekati rakyat dan menyampaikan segala maklumat yang perlu diketahui mereka.

harakah/-

Tiada ulasan: