22 Februari 2013

Pendapatan tak sampai RM10

Johar 11 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Johar menunjukkan sampan tersadai dan lengang tanpa pelanggan.
 
HUTAN MELINTANG - Kemerosotan penumpang sampan tambang semakin terjejas teruk di Kampung Kota, di sini sehingga pendapatan yang diperoleh tidak mencecah RM10 sehari.

Pemilik sampan, Johar Loyek, 65, berkata, perkhidmatan dari Kampung Kota yang membawa penumpang menyeberangi Sungai Bernam ke pekan Sabak Bernam, Selangor mengalami kemerosotan jumlah penumpang, sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, ramai penduduk lebih gemar menggunakan kereta atau motosikal sendiri untuk berulang alik ke Pekan Sabak Bernam menerusi jambatan Sungai Bernam.

"Namun, kebelakangan ini, jumlah menumpang makin tiada menyebabkan pengusahanya mengeluh kerana pendapatan yang sedikit," katanya.

Johar berkata, pada era 50-an hingga akhir 70-an , Jeti Kampung Kota menjadi lokasi sibuk setiap hari dengan sampan tambang membawa penumpang termasuk murid sekolah yang bersekolah di kawasan Sabak Bernam, Selangor.

“Suasana kesibukan itu semakin suram setiap tahun sejak jambatan Sungai Bernam siap dibina dalam tahun 80-an.

"Jika dahulu, pengayuh dan pemilik sampan mampu menjana pendapatan antara RM30 hingga RM50 sehari, tetapi sekarang hendak dapat RM10 sehari pun susah kerana kurang penumpang," katanya.

Katanya, pengusaha, mengenakan tambang RM1 seorang bagi satu perjalanan dan kini hanya empat sampan tambang sahaja beroperasi berbanding 15 sampan t sebelum ini.

"Kini pengusaha hanya dapat menjana pendapatan pada hari Jumaat, kerana ramai penduduk tempatan keluar ke Pekan Sabak Bernam untuk membeli barangan di pasar sehari di kawasan berkenaan," katanya.

Sementara itu, bekas Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Kota (JKKK) Razali Rani, 57, berkata, pihaknya pernah memohon enjin sangkut kepada kerajaan kerana pengusaha tidak mampu mendayung menyeberangi sungai dalam jarak 300 meter akibat faktor usia.

"Malangnya permohonan itu tidak mendapat perhatian pihak berkenaan dan saya bimbang perkhidmatan sampan tambang akan pupus jika tidak ada langkah drastik diambil.

“Saya harap industri sampan tambang ini mampu dikekalkan kerana ia menjana pendapatan penduduk malah meminta pemimpin membantu menangani masalah itu,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: