PERMATANG PAUH 3 Mac: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim
memberi amaran kepada Umno BN agar tidak mengheret beliau dalam isu di
Lahad Datu, Sabah.
Malah kata Anwar, sesiapa saja yang memfitnah dengan membabitkan
namanya dalam isu pencerobohan tentera ‘Sultan Sulu’, di Lahad Datu akan
berdepan tindakan undang-undang.
“Saya akan saman Utusan (Malaysia) sekali lagi minggu depan kerana
cuba memfitnah dengan mengheret saya dalam isu pencerobohan di Lahad
Datu,” katanya ketika berucap di hadapan hampir 5000 hadirin di tapak
parkir, Pasar Tenggiri, Seberang Jaya semalam.
Beliau juga mempertikaikan bagaimana pencerobohan perairan negara
boleh bolos hingga memberi ruang kepada musuh mengancam keselamatan
negara.
“Ini membuktikan betapa lemahnya pertahanan serta kepimpinan negara
hingga pencerobohan yang menggugat keselamatan negara boleh berlaku
sejak tiga minggu yang lalu.
“Sebagai rakyat Malaysia, saya tetap mahu kedaulatan negara serta bumi Malaysia dipertahankan,” ujarnya serius.
Anwar juga menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,
kerana tidak memberi peluang kepadanya menjawab segala tuduhan
membabitkan pencerobohan Lahad Datu.
Ia juga mencabar Najib supaya tidak menjadi pengecut dengan
berselindung di sebalik media arus perdana, tanpa memberi ruang yang
sama kepadanya untuk membalas kritikan.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri I Pulau
Pinang, Datuk Mansor Othman, Lt.Jeneral(B)Datuk Abdul Ghafir Abd Hamid
dan pimpinan PR Pulau Pinang.
keadilandaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan