04 Mac 2013

Tidak benar syarikat RM2 jalankan projek RM6.3b

21 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
 

GEORGE TOWN: Setiausaha Kerajaan dan Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus dan Datuk Mokhtar Mohd Jait menjelaskan adalah tidak benar projek RM6.3 bilion akan dijalankan oleh syarikat RM2.

Menurut mereka, sebenarnya modal berbayar keseluruhan untuk keempat-empat syarikat yang menjalankan tiga projek utama adalah sebanyak RM4,549.2 juta.

“Sebagai Pengerusi Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang serta Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan masing-masing, kami rasa kesal bahawa proses pemilihan tender yang dijalankan secara terbuka dan telus untuk 3 lebuhraya utama daripada Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (LCE) Persiaran Gurney ke Lebuhraya LCE dan sebuah terowong bawah dasar laut daripada Persiaran Gurney dan Bagan Ajam telahpun dipersoalkan oleh pihak tertentu,” ujar mereka dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kata mereka, kos projek itu dianggarkan oleh kerajaan sebanyak RM8 bilion tetapi selepas proses tender terbuka secara kompetitif dijalankan sejak 14 November 2011, surat niat telah dikeluarkan pada 6 Februari lalu dengan harga lebih rendah iaitu sebanyak RM6.3 bilion, yang terendah di antara semua pembida yang diterima.

“Projek ini agak tersendiri dan unik kerana kos RM6.3 bilion dibiayai bukan dengan bayaran wang tunai tetapi menerusi land swap sebanyak 110 ekar di tanah tebus guna di Tanjung Pinang,” ujar mereka lagi.

Menurut mereka, mmandangkan bayaran dibuat menerusi land swap dan bukan secara bayaran wang tunai, maka adalah perlu kontraktor berpakaran bekerjasama dengan pemaju.

Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd adalah sebuah special purpose vehicle (SPV) yang merupakan konsortium usahasama di antara syarikat kontraktor berpakaran dengan pemaju seperti berikut:-
  • Zenith Construction Sdn Bhd bersama China Railway Construction Corporation Ltd sebanyak 70% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM3.5 juta dan RM4 bilion masing-masing;
  • Beijing Urban Construction Group 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM541 juta;
  • Sri Tinggi Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM3.7 juta; dan
  • Juteras Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM1 juta.
Justeru, jelas mereka keseluruhan modal berbayar keempat-empat syarikat adalah RM4,549.2 juta yang memenuhi kriteria kerajaan negeri yang meletakkan modal berbayar minima RM381 juta.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: