04 Mac 2013

Khir cadang orang politik kendali krisis Sabah

21 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



SHAH ALAM: Ekoran suasana yang terus membimbangkan di Sabah, pelbagai pihak membuat cadangan balas bagi menyelesaikannya.

Suasana membimbangkan ini turut diakui oleh bekas MB Selangor, Datuk Seri Khir Toyo sehingga beliau mencadangkan agar krisis Sabah perlu dikendalikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Cadangan ini dikemukakan Dr Khir dalam blog beliau hari ini. MKN adalah badan yang telah mentadbir Kelantan sehingga menjatuhkan kerajaan negeri di bawah PAS di pertengahan 1970an dahulu.

Cadangan ini bermakna krisis ini bakal dikendalikan oleh orang politik iaitu Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah.

"Seingat saya inilah krisis yang mengambil masa paling lama untuk diselesaikan oleh pihak berkuasa negara sejak Peristiwa 13 Mei 1969," tulis Khir.

Bagi beliau, lebih menimbulkan kegusaran orang ramai ialah setelah hampir sebulan, krisis ini bukan menampakkan jalan penyelesaian atau kesudahan.

Sebaliknya, dari situasi hanya terhad di Lahad Datu semata ia telah merebak ke Semporna dan tidak mustahil daerah-daerah lain sekitar sempadan maritim Filipina, tulis Khir.

"Namun melihat kekalutan yang ada sekarang saya fikir bukan sahaja isu keselamatan yang perlu dititik beratkan kerajaan tetapi juga isu keyakinan rakyat terhadap kerajaan dalam menangani isu ini.

"Kerajaan tidak lagi boleh sekadar mengulangi keadaan dalam kawalan (under control) kerana setiap kali pihak Polis mendakwa keadaan berada di dalam kawalan ketika itu juga muncul berita anggota Polis terkorban," tulisnya lagi.

Ekoran itu, beliau mencadangkan  kerajaan menggerakkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil alih peranan pihak Polis dalam isu ini.

Mungkin Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri sendiri yang mempengerusikan MKN untuk krisis ini.
MKN harus beroperasi 24 jam sehinggalah isu ini diselesaikan secara tuntas.

"Dengan menggerakkan MKN untuk isu ini maka bukan sahaja PDRM yang terlibat tetapi juga ia akan melibatkan pihak Tentera dan beberapa pihak berkuasa lain serta Ketua Menteri Sabah," tulis Khir.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: