18 Mac 2013

Ditemui mati dalam rumah

6 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Ditemui mati dalam rumah
Anggota polis mengangkat mayat Rakiah yang ditemui mati semalam untuk dihantar ke Hospital Tengku Anis bagi tujuan bedah siasat.
 
PASIR PUTEH - Seorang warga emas yang tinggal bersendirian ditemui mati di dalam rumahnya di Kampung Air Tawar, Semerak dekat sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, polis bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan daripada orang ramai jam 8 pagi yang memaklumkan kematian Rakiah Ibrahim, 71.

Ketika polis sampai di rumah tersebut katanya, terdapat anggota keluarga si mati di luar rumah itu.

“Polis mendapati kesemua pintu rumah berkunci dan terpaksa memecahkan tingkap untuk masuk ke rumah bagi membuat pemeriksaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohd Kamal berkata, siasatan awal mendapati kematian itu tiada kaitan dengan jenayah dan pihaknya mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun katanya, punca sebenar kematian hanya akan diketahui selepas bedah siasat dilakukan di Hospital Tengku Anis.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kita akan mengetahui punca sebenar kematiannya selepas post mortem (bedah siasat) nanti,” katanya.

Sementara itu, jiran si mati, Norizan Yusof, 42, berkata, dia menyedari Rahimah meninggal dunia ketika melalui rumah itu jam 6.30 pagi.

Katanya, dia memeriksa rumah itu selepas melihat pintu rumah dan lampu terbuka tetapi pintu gril masih berkunci, tidak seperti mana lazimnya.

“Saya keluar awal dari rumah hari ini kerana mahu menyertai program 1 Million Women Purple Walk di Pejabat Pelajaran Daerah, ketika melalui rumah Rakiah saya mengesyaki sesuatu.

“Saya melihatnya melalui luar rumah, cuba memanggilnya tapi tiada tindak balas dan ketika itulah saya mengesyaki dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: