18 Mac 2013

'Kami tak pernah terima bantuan sebegini sebelum ini'

6 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

 
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah Norizah Marwan, 48, tidak dapat menyembunyikan rasa terharu dan gembira apabila keluarga beliau antara yang menerima bantuan tambang bas sekolah yang diperkenal kerajaan Negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, bantuan seperti ini sangat diperlukan keluarganya apatah lagi beliau mempunyai lima orang anak dalam keadaan suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang amat mengambil berat kesusahan rakyat. Saya amat gembira.

“Ia sangat membantu keluarga saya. Suami saya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan lima orang anak masih bersekolah, jadi ia banyak mengurangkan beban keluarga,” katanya.

Beliau dipetik berkata demikian kepada Selangorku semalam, selepas anaknya Amir Irfan, 13, menerima sumbangan tambang bas sekolah RM300 dari kerajaan negeri di Dewan Sukan Majlis Perbandaran Klang, Andalas, Klang.

Bantuan itu disampaikan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Seramai 62 keluarga dari Dewan Undangan Negeri (Dun) Andalas menerima bantuan tersebut dalam majlis itu dengan peruntukkan sebanyak RM18,600.

Bantuan subsidi tambang bas sekolah itu adalah salah satu program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak tiga tahun lalu di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Ianya diberi kepada keluarga yang layak yang berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500.

Seorang lagi penerima, Miswan Salleh, 58, turut berterima kasih kepada kerajaan negeri atas bantuan yang cukup bermakna itu.

Beliau yang juga Ketua Kampung Sungai Kandis berkata, pentadbiran kerajaan negeri pada masa kini jauh lebih baik dan perihatin terhadap nasib rakyat berbanding kerajaan sebelum ini.

“Kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin dengan masalah kami. Saya berharap pemberian subsidi bas sekolah ini akan berterusan pada masa akan datang,” katanya.

Xavier dalam pada itu berkata, memandangkan sambutan terhadap bantuan itu sangat menggalakkan, beliau akan mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk memperluas bantuan itu kepada keluarga berpendapatan di bawah RM3000.

Terdahulu beliau menyampaikan sijil dan wang sagu hati kepada lebih 300 pelajar cemerlang Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang melibatkan 15 buah sekolah.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: