18 Mac 2013

Dun Selangor tetap dibubar hujung Mac - Khalid

6 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan beliau tetap akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor pada hujung Mac ini.

Menurut Abdul Khalid, hujung Mac ini adalah tempoh terakhir bagi pihak kerajaan negeri mendengar keputusan Perdana Menteri sama ada mahu membuarkan parlimen bulan ini ataupun masih mahu bertangguh.

"Saya masih tunggu PM. Tetapi saya akan buat keputusan jika tidak berlaku pembubaran dewan Parlimen sebelum akhir bulan Mac, saya akan lakukan,” katanya dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian menjawab soalan pemberita sewaktu mengadakan sidang media membantah pemungut parkir yang didakwa tidak berlesen di pasaraya Giant Taman Connought, semalam.

Kenyataan Abdul Khalid ini adalah penegasan kedua dalam tempoh dua minggu bahawa beliau akan bertindak membubarkan Dun Selangor pada hujung Mac ini walau apa pun keputusan Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak membuat kenyataan serupa selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memaklumkan hasrat kerajaan negeri itu.

Sultan Selangor menunut Abdul Khalid, telah menyatakan tidak menghalang keputusan kerajaan negeri untuk membubarkan Dun lebih awal dari parlimen.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: