17 Mac 2013

Foto intim mirip Anwar sudah dijangka, taktik basi serang Pakatan

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Haniza Mohamed Talha

Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Mohamed Talha
Ng Suee Lim

Ng Suee Lim
SHAH ALAM – Penyebaran gambar perlakuan intim seorang lelaki yang didakwa mirip Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai taktik basi digunakan pihak lawan untuk ‘menyerang’ Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Wanita PKR Selangor, Haniza Mohamed Talha mendakwa, taktik itu sudah diketahui umum memandangkan ia kerap dimainkan menjelang pilihan raya umum (PRU) dan orang ramai juga sudah boleh ‘menghidu’ dalang di sebalik penyebaran gambar berkenaan.

“Ia sudah jadi tidak relevan lagi. Biar mereka (individu tidak bertanggungjawab) buat selalu (perkara sebegini). Kelak rakyat sendiri akan jemu dan menolak mereka.

“Tindakan mereka itu ibarat sudah musnahkan masa depan politik sendiri,” katanya ketika diminta mengulas berhubung satu blog yang memuatkan entri memaparkan 13 gambar perlakuan intim seorang lelaki mirip Anwar dengan seorang lagi lelaki lain.

Haniza yang juga Adun Taman Medan mendakwa, pihak yang tidak bertanggungjawab itu tidak mempunyai modal lain dan terdesak sehingga terpaksa mengeluarkan gambar berunsur lucah untuk menjatuhkan PR.

Beliau bagaimanapun yakin PR tidak akan tergugat dengan 'serangan' ini memandangkan rakyat sudah muak dengan taktik tersebut.

“Sepatutnya dalam politik, kita kena tumpukan kepada perkara berkaitan dasar dan polisi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, bukannya menggunakan politik durjana," katanya.
Timbalan Setiausaha DAP Negeri, Ng Suee Lim berkata, PR sudah menjangka serangan taktik kotor akan menjadi semakin rancak digunakan pihak tidak bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), terutama terhadap Anwar.
“Ini kerana, beliau (Anwar) yang kita (PR) tonjolkan sebagai ketua umum dan bakal perdana menteri jika PR berjaya membentuk kerajaan dalam PRU akan datang.

“Sejak 15 tahun lalu, beliau sudah jadi sasaran utama parti politik, penulis blog dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak memihak kepada PR untuk menyerang beliau antaranya isu liwat I dan II, kemudian dikait dengan video seks bersama seorang wanita,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, ia bukan perkara baru yang dilakukan pihak tertentu, sebaliknya mereka yang terlibat hanya ‘kitar semula’ isu berkenaan.

“Ini satu tindakan tidak bermaruah dan politik kotor kerana tiada fakta yang jelas untuk membuktikannya. Sepatutnya, dalam politik ini, kita hanya ‘bertempur’ dari segi idea, bukan dengan cara seperti ini.

“Saya percaya, rakyat kini sudah bijak menilai mana (perkara) yang betul,” katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: