17 Mac 2013

Noryn, Yatt dan Najwa meriahkan Karnival Wanita Kelantan

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -



KOTA BHARU: Artis Noryn Aziz, Yatt Hamzah dan Najwa Latif, telah memeriahkan majlis Karnival Wanita Kelantan Peringkat Negeri Kelantan.

Program yang diadakan di Kelantan Trade Center itu anjuran Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri.

Noryn Aziz menyampaikan dua buah lagu ‘Mutiara’ termasuk sebuah lagu baru ketuhanannya yang bertajuk ‘Tinta Putih’.

Najwa pula menyampaikan tiga buah lagu hitsnya termasuk lagu ‘Kosong’.

Sementara itu, Yatt pula tampil dipentas bicara santai bersama Noryn dan Najwa.

Kupasan yang diberikan banyak berkisar penghijrahan masing-masing kecuali Najwa yang menceritakan bagaimana beliau mula dikenali di Youtube.

Noryn ketika berucap di majlis itu berharap penghijrahannya akan berkekalan buat semalamanya kerana ketenangan begitu dirasai sejak berhijrah.

“Noryn memohon pada semua supaya turut mendoakan semoga Noryn sentiasa istiqamah dalam penghijrahan ini,”ujarnya.

Bagi Yatt, hijrah sahaja belum mencukupi sekiranya tidak ditambah dengan ilmu.

Kerana itu menurutnya, beliau sering mengikuti kuliah agama yang disampaikan oleh beberapa orang tokoh ulamak.

Noryn terkenal sebagai artis irama jazz sering muncul membuat persembahan di majlis-majlis koprat.

Najwa Latif pula melahirkan rasa terima kasih kepada seorang bloger yang memuatkan kisah berhubung dirinya sehingga membuatkan tontonan youtube nyanyiannya meningkat lebih 2,000 permulaannya.

“Saya tahu sekiranya kisah saya tidak ditulis oleh seorang abang dalam blognya, saya yakin saya tidak akan dikenali masyarakat,”ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar, ketika berucap pada majlis itu memberitahu penghijrahan para artis, tidak bererti berkuburnya kerjaya mereka sebagai seorang artis.

Menurutnya, masih banyak ruang yang boleh mereka ceburi dalam bidang itu, kerana seni dan hiburan tidak dihalang oleh Islam selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam.

Katanya, kerajaan negeri menganjurkan pertandingan Wanita Kelantan Got Telent 2 khusus untuk mencungkil bakat baru disamping untuk memberi peluang mereka berhibur secara tertutup.

Sementara itu, Tuan Nor Fatin Tuan Yusof, muncul johan dalam pertandingan itu dengan lagu Nirmala yang dipopularkan Datuk Siti Nurhaliza.

Manakala johan tarian pula dimenangi Kumpulan Jastera dari Kota Bharu.

Program ini diadakan disebelah pagi, dimana Noryn Aziz sebagai ketua juri.

Sempena majlis ini juga diadakan demontrasi tudung oleh perunding imej Mastura Mansur dari Profesional Trainer Training International Sdn Bhd dan Yatt Hamzah.                                                                                 

Sambutan penyertaan pertandingan tahun ini begitu meningkat berbanding tahun lalu sehingga 100 peratus apabila 75 peserta memohon untuk mengambil bahagian.

Turut berucap pada majlis itu, Anggota Dewan Negara, Khairiah Mohamed.

Hadir sama, Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim dan Pengarah Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Zainiah Halim.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: