5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KULAIJAYA – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang masih gagalkan mengumumkan tarikh Pilihan Raya ke-13 (PRU13) disebabkan parti itu mempunyai masalah dan berasa terancam.
Menurutnya, sekiranya Pakatan Rakyat (PR) diberi peluang untuk memerintah negara dalam tempoh sepenggal atau lebih, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengumumkannya lebih awal.
Katanya, selain itu, PR juga akan memberikan kebebasan kepada media sekiranya mampu menawan Putrajaya, untuk melaporkan berita secara adil dan telus tanpa sebarang sekatan selain mengamalkan sistem pilihan raya yang adil.
“Media diberi kebebasan termasuk mengkritik PR walaupun menjadi pemerintah, dengan cara itu kita tahu apa kelemahan yang dihadapi sekaligus memperbetulkannya, rakyat juga bebas untuk mengetahui sebarang maklumat.
“Situasi seperti ini berbeza seperti yang diamalkan pada hari ini, apabila rakyat tidak dapat mengetahui perkara sebenar, tindakan berkenaan seperti ‘orang tua yang mahu sembunyikan penyakit,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian, sempena Jamuan Rakyat, Pakatan Rakyat, di Taman Tropika, di sini, semalam.
Hadir sama, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mahfodz Mohamed; Pengerusi PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng dan Pengerusi DAP negeri, Dr Boo Cheng Hau.
Dalam pada itu, ketika diminta untuk mengulas mengenai kemungkinan Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang bertanding di Parlimen Gelang Patah, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut dan memaklumkan ia dalam peringkat perbincangan dan cadangan.
“Terpulang pada parti, sama ada dia (Kit Siang) bertanding di Johor atau tidak, mengenai calon dan kerusi ia terpulang kepada parti untuk membuat keputusan,” katanya.
Ketika ditanya tindakan pemimpin Umno negeri yang mencadangkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berundur, beliau berkata, ia adalah urusan rumah tangga Umno dan PR tidak mahu campur tangan.
“Terpulang kepada mereka. Kita enggan masuk campur kerana ia urusan rumah tangga Umno, tetapi jika PR diberi peluang untuk menggantikan jawatan berkenaan, kita amat mengalu-alukannya,” katanya.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan