17 Mac 2013

Menjelang PRU13: Hanya tunggu isyarat PM

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Menjelang PRU13: Hanya tunggu isyarat PM

Bilik gerakan BN di Kampung Bukit Dinding meriah dengan bendera parti yang berkibaran.
Menjelang PRU13: Hanya tunggu isyarat PM

Ahli DHPP Jerantut bersama Pas Kawasan Jerantut di hadapan Bilik Gerakan DHPP Jerantut.
JERANTUT- Bagaikan pesta. Begitulah perasaannya apabila melalui sepanjang jalan raya tidak kira di kampung mahupun bandar. Di mana-mana sahaja bahagian kiri dan kanan jalan dihiasi dengan bendera parti yang pelbagai warna.

Kadangkala sebatang pokok kelapa bergayutan bendera daripada pelbagai parti untuk menunjukkan sokongan mahupun sebagai promosi parti yang akan bertanding di kawasan berkenaan.

Lebih menarik apabila penyokong parti masing-masing membuat replika daripada tayar atau barangan terbuang membentuk sesuatu yang menarik perhatian dan menampalnya dengan bendera parti.

Selain itu, bilik gerakan atau juga dikenal sebagai Pusat Daerah Mengundi (PDM) turut dihias cantik mengikut kreativiti masing-masing.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar daerah Jerantut mendapati kebanyakan bilik gerakan milik Umno dan PR sudah bersedia untuk memulakan operasi pada bila-bila masa.

Bagi Dun Damak, sebanyak 20 PDM sudah dibuka dan kini hanya menunggu masa untuk jentera parti bergerak bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN).

Adun Damak, Datuk Lau Lee berkata, terdapat juga beberapa PDM MCA dibuka bagi kawasan Sungai Jan, Taman Muhibbah, Jerangsung dan Sungai Lekok.

“Kita sudah lama bersedia dan hanya menunggu isyarat daripada PM, kita sudah melaksanakan tugas yang diamanahkan sebaik mungkin.

“Kita mahu lihat pembangunan pesat terus berlaku dan dilaksanakan di kawasan ini di bawah pemerintahan BN,” katanya.

Lau Lee berkata, rakyat perlu sedar dan tahu menilai manifesto yang dibentang PR di mana janji yang ditabur mereka tidak akan dapat ditunaikan.

Menurutnya, jika PR yakin akan menang, mereka tidak akan membuat janji yang sudah pasti tidak dapat dilaksanakan itu.

“Kita harap rakyat dapat menilai sendiri dan bukti bagaimana Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang sekarang. Mana manifesto mereka dan satupun tidak ada yang dilaksanakan.

“Rakyat sekarang sudah bijak dan boleh menilai dengan melihat sendiri apa yang dilakukan sama ada BN mahupun PR,” katanya.

Anjur baca Yasin di PDM

Ketua Penerangan Wanita Umno Bahagian Jerantut, Datuk Khatijah Mohd Said berkata, Wanita Umno Bahagian juga sudah bersedia di 54 PDM Parlimen Jerantut.

Menurutnya, bagi wanita, pelbagai program terus dilaksanakan seperti Program Salam Sayang dan majlis membaca Yasin atau dipanggil Yasinan di setiap PDM.

“Kita juga laksanakan Walkabout dan ceramah isu semasa bagi menjelaskan kepada orang ramai berkaitan isu yang berlaku.

“Hanya tunggu gong dipalu, selepas itu kita akan mulakan gerakan beri kemenangan kepada Umno,” katanya.

Pastikan calon PR menang

Sementara itu, bagi Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, N Balasubramaniam berkata, di negeri ini terdapat 20 bilik gerakan DHPP dibuka bagi menyokong calon Pas dan PR menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Beliau yang juga Ketua DHPP Pahang merangkap Ketua DHPP Jerantut berkata, di daerah ini terdapat sebuah bilik gerakan yang bersedia bila-bila masa sahaja.

“Apabila PRU diumumkan jentera kita akan melaksanakan tugas sebaik mungkin dan memastikan calon Pas  serta PR yang bertanding menang. Kita mahu memberikan pembaharuan kepada rakyat," katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: