17 Mac 2013

Lahad Datu: Gegar mahu laporan tepat untuk rakyat Sabah

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gabungan NGO Menuntut Hak Rakyat Sabah (Gegar) melancarkan Gerakan Pemantau Media yang akan menyelia perkembangan berita yang disampaikan oleh media tempatan mahupun antarabangsa mengenai isu pencerobohan Lahad Datu.

Menurut Pengerusi Gegar, Harieyadi Karmin, penubuhan gerakan ini bagi membolehkan rakyat Sabah membuat penilaian secara menyeluruh mengenai isu yang berlaku dan memastikan maklumat yang diterima adalah berasaskan sumber yang sahih dan bukan sekadar khabar angin.

Ini kerana katanya, Gegar mendapat maklumat berhubung tindakan pihak tertentu yang cuba mengapi-apikan sentimen perkauman di kalangan masyarakat Sabah, dipercayai untuk menimbulkan ketegangan antara kaum.

"Melihat kepada laporan media yang disiarkan oleh media tempatan dan antarabangsa, Gegar mendapati terdapat beberapa percanggahan fakta yang didedahkan.

"Sebagai contohnya media di Philipina ada melaporkan mengenai tindakan keterlaluan pihak keselamatan Malaysia terhadap masyarakat Sulu di Sabah, namun laporan ini bercanggah dengan laporan media tempatan yang menunjukkan pihak keselamatan Malaysia menjalankan tugas dengan baik tanpa sebarang penganiayaan terhadap masyarakat Sulu.

"Kekeliruan ini seterusnya boleh menyebabkan rakyat terpengaruh dengan khabar angin yang tidak tepat. Oleh itu, perbezaan laporan ini perlu sampai kepada rakyat agar rakyat sendiri dapat menilai keabsahan berita yang disiarkan," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Gegar menyediakan satu talian hotline bagi memudahkan masyarakat berhubung secara terus dengan pihak Gerakan Pemantau Media iaitu 014-875-0414 atau 013-546-7541.

"Selain menjadi sumber maklumat, talian Hotline ini juga boleh dihubungi untuk aduan sebarang masalah berkaitan dengan perpaduan dan keharmonian masyarakat awam khususnya dalam jangka waktu pencerobohan Lahad Datu," katanya.

Sementara itu, Gegar turut menyeru semua pihak daripada pelbagai latar belakang agama, kaum dan bangsa terus mengekalkan perpaduan di negeri itu bagi menjaga keharmonian yang telah lama dikecapi.

"Segala fitnah yang dilemparkan bertujuan mengapi-apikan permusuhan antara kaum perlu ditangkis dan dikaji kesahihannya terlebih dahulu. Kami di peringkat anak muda sangat cintakan perpaduan seperti mana yang telah kita kecapi selama ini," katanya.

Gegar juga menyeru seluruh rakyat Sabah agar tidak berasa takut untuk mempertahankan negeri daripada sebarang bentuk pencerobohan dan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan bumi Sabah daripada sebarang ancaman keselamatan.

Media tempatan pula diminta melaporkan perkembangan sebenar mengenai isu Lahad Datu dengan turut memetik kenyataan media asing seperti media dari negara jiran iaitu Filipina.

"Hal ini penting bagi membolehkan rakyat mendapat gambaran menyeluruh mengenai isu yang sedang berlaku.

"Anak muda sekali lagi merakamkan jutaan penghargaan kepada para anggota keselamatan yang telah berhempas pulas menjaga keselamatan negeri ini," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: