11 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KEMAMAN – “Hampir semua binatang rentung termasuk haiwan paling mahal iaitu sugar glider yang berharga RM3,000 seekor.
“Namun paling sedih, pusat akuarium dan haiwan peliharaan yang kami buka sejak 15 tahun lalu ini kini musnah,” keluh pemilik Kedai Tan Akuarium, Tan Meng Seng, 50, yang menanggung kerugian kira-kira RM500,000 setelah premis kedai dua tingkatnya di sini, terbakar semalam.
Kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu menyebabkan stok makanan binatang peliharaan yang baru tiba dan hampir semua haiwan yang dijual dalam premis itu seperti ikan kelisa emas, kelisa merah, arnab, burung dan ular hangus dengan hanya beberapa kucing sahaja yang dapat diselamatkan.
Bagaimanapun, Meng Seng bernasib baik kerana terselamat berikutan ketika kebakaran, dia berada di tingkat dua kedai terbabit.
Bapa seorang anak itu berkata, dia menyedari kebakaran itu apabila terdengar orang membaling sesuatu yang mengena tingkap rumah kedainya selepas dia keluar dari tandas.
“Lepas buka tingkap, orang beritahu kedai saya terbakar dan masa itu asap dari tingkat bawah berkepul-kepul naik.
"Saya capai beberapa barang dan turun ikut tangga bersebelahan kedai bawah. Kemudian saya jerit supaya telefon bomba,” katanya.
Menurutnya, kedainya itu tidak dibuka pada Jumaat.
Periksa sebelum tinggalkan kedai
Sementara itu, isterinya, Low Lai Chan, 38, berkata, dia menutup kedai berkenaan pada jam 7 petang kelmarin dan sempat memeriksa keadaan dalam kedai sebelum pulang ke rumah kira-kira jam 10.30 malam.
“Hanya suis akuarium dan satu suis komputer yang tidak ditutup, manakala yang lain saya sudah tutup,” katanya yang tidak menyangka akan ditimpa malang.
Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan.
Paling terkilan, Lai Chan berkata, stok makanan haiwan yang baru sahaja tiba di kedainya tidak sempat diambil oleh pelanggan.
“Sebelum ini saya sudah hubungi pelanggan, minta mereka datang ambil makanan haiwan yang baru sampai tetapi semuanya musnah," katanya.
Api berjaya dikawal
Berikutan kebakaran itu, kira-kira 50 peratus kedai tingkat bawah musnah.
Kerja memadam kebakaran dilakukan 12 anggota Bomba dan Penyelamat Balai Chukai dan Balai Kemaman melibatkan dua jentera bomba berjaya mengelak kebakaran daripada merebak ke lot kedai bersebelahan.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Pegawai Bomba Kanan 2 Mat Daling Mohd Dahan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.45 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian pada jam 10.03 pagi.
“Apabila tiba di tempat kejadian kita lihat tingkat bawah berasap. Api berjaya dikawal kira-kira jam 10.50 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 11.20 pagi, namun punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.
Susulan musibah itu, Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai, Hanafiah Mat turut meluangkan masa menziarahi mangsa di lokasi kejadian.
Kerja mengalihkan barangan berharga yang dikeluarkan dari bangunan terbakar itu turut dibantu anggota Rela dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan