11 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
ALOR GAJAH - Kerana mahu membantu jirannya daripada disamun, seorang lelaki cedera selepas belakang kepalanya dilibas parang oleh salah seorang penyamun di sebuah taman perumahan, dekat sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, Mohd Hisham Kamal, 39, menerima tujuh jahitan ketika menyelamatkan jirannya, Md Yusuf Ahmad, 47, bersama isteri, Hamidah Dahlan, 47, serta enam anak berusia antara 21 dan 11 tahun yang didatangi enam perompak bersenjatakan parang.
Menurut Mohd Hisham, ketika kejadian, dia terdengar ibu kepada Md Yusuf, Salmah Khamis, 75, menjerit memberitahu anaknya diserang perompak.
“Saya baru pulang dari Masjid Tanah, tiba-tiba dengar jiran saya menjerit. Saya berlari ke rumah jiran dan terlihat seorang lelaki bertopi keledar memegang parang," katanya.
Menurutnya, lelaki berkenaan datang ke arahnya sambil melibas-libas parang.
"Saya cuba berundur untuk melarikan diri dan terlanggar sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan, lalu terjatuh. Ketika itu, seorang dari penjenayah itu menetak saya," katanya.
Mohd Hisham berkata, dia kemudian mencapai wiper sebuah kereta untuk melawan, sebelum kesemua penjenayah itu melarikan diri.
Katanya, melihat kepada kecederaan dialami, dia dikejarkan ke Hospital Alor Gajah oleh isteri dan ahli keluarga.
Sementara itu, Md Yusuf berkata, semasa kejadian, dia berada di luar rumah membuka pintu pagar untuk menghantar juadah untuk jemaah di masjid berdekatan, berikutan dia akan berangkat menunaikan umrah keesokan hari.
"Belum sempat hantar ke masjid, saya ditendang penyamun yang kesemua mereka bertopi keledar bertutup muka.
“Dengan deruman enjin motosikal yang kuat, penjenayah itu meluru masuk ke dalam rumah terus mengarahkan emak saya menyerahkan cincin emas dipakai," katanya.
Kata Md Yusuf, enam penyamun itu mengacukan parang ke arah dia dan isteri serta enam anak mereka sambil mengarahkan supaya menyerahkan kesemua barang berharga yang ada, sebelum jirannya itu datang membantu.
Md Yusof merupakan guru di Kolej Vokasional Datuk Seri Md Zin di sini berkata, menyedari mangsa sudah terkena libasan, kesemua penyamun itu bergegas keluar dari rumah, namun sempat mencapai beberapa barang termasuk dua telefon bimbit dan ipad, selain dompet berisi wang tunai.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan