23 Mac 2013

Kit Siang buka laluan Pakatan tawan Johor?

11 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Bagi orang Umno ia ibarat mimpi tengah hari, tetapi Pakatan Rakyat telah menghalakan meriam ke Johor.
PETALING JAYA: Barangkali tidak ada seorangpun yang terfikir mengenai kemungkinan Barisan Nasional akan runtuh di Johor  dalam pilihan raya umum ke 13 ini.

Bagi orang Umno ia ibarat mimpi tengah hari, tetapi Pakatan Rakyat telah menghalakan meriam ke Johor.
Bermula dengan kepulangan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub hampir setahun lalu. Kini langkah itu diikuti supremo DAP, Lim Kit Siang.
Pemimpin utama Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kit Siang akan bertanding di Gelang Patah. Kit Siang berasal dari Johor tetapi tidak pernah bertanding di negeri kelahirannya itu.
Beliau kini merupakan ahli parlimen Ipoh Timur sejak tiga penggal yang lalu. Walaupun sudah lanjut usia, tetapi perbahasannya di parlimen masih berbisa
Seorang lagi pemimpin DAP iaitu Liew Chin Tong yang kini ahli parlimen Bukit Bendera di Pulau Pinang juga dikatakan akan bertanding di Johor.

Sasaran DAP ialah memenangi kerusi-kerusi bandar majoriti pengundi Cina. Manakala PKR di kawasan pengundi campuran dan PAS majoriti Melayu.
Johor memang ramai pemimpin politik menempa nama di negeri-negeri yang lain. Lim Guan Eng, ketua menteri Pulau Pinang berasal dari Johor, Khalid Samad, ahli parlimen PAS Shah Alam serta Tony Pua (ahli parlimen DAP PJ Utara) juga dari Johor.
Dua pegawai tentera tanding kerusi PKR
Sumber PAS memberitahu dua bekas pegawai kanan tentera akan bertanding atas tiket PKR di parlimen Johor Baru dan Pasir Gudang dalam PRU 13.
Bekas Panglima Turus Tentera Darat Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein akan bertanding di parlimen Johor Baru yang kini diwakili tokoh veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad.
Manakala mantan Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid disebut-sebut akan bertanding di Pasir Gudang.
Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mahfodz Mohamed betika dihubungi berkata, dalam keadaan semasa Pakatan Rakyat boleh menang 15 kerusi parlimen di Johor. Manakala bagi kerusi negeri, Mahfodz meramalkan antara 25 dan 29 kerusi dari 56 di Johor.

“Pada awalnya saya menjangkan kerusi parlimen yang akan dimenangi Pakatan Rakyat sekitar 12 sahaja tetapi dengan ramainya tokoh negeri pulang kampung, sasaran 15 kerusi boleh dicapai,” katanya.
Jika Pakatan Rakyat mampu lebih banyak kerusi parlimen di Johor, laluan menawan Putrajaya lebih terbuka luas.
Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat menang 82 kerusi parlimen dan menawan empat negeri – Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor – serta mengekalkan Kelantan yang dimenangi sejak tahun 1990.
Bagaimana peluang Pakatan Rakyat dalam pilihan PRU 13 ini?
FMT/-

Tiada ulasan: