23 Mac 2013

Teka-teki tarikh PRU13 dijangka berakhir 26 Mac

11 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Teka-teki tarikh Pilihan raya Umum ke-13 dijangka bakal berakhir pada 26 Mac ini, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.


 Prediksi ini berdasarkan ‘ketegasan’ Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan PRU13 secara berasingan.

Negeri Sembilan pula bakal akan terbubar sendiri pada Selasa depan, dan pilihanraya negeri mesti diadakan dalam 60 hari, iaitu sebelum 26 Mei.

“Jika SPR ingin mengadakan pilihanraya serentak, ia mesti menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pilihanraya mesti diadakan sebelum 26 Mei,” kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Dengan itu, kata Mustafa, SPR mesti menasihatkan Najib untuk memilih ‘tarikh yang betul’ sekiranya ia bertegas untuk mengelak pilihanraya berasingan, sesuatu yang ditentangnya sejak dulu.

Namun, pada pandangan Mustafa, sukar dibayangkan Najib akan memilih untuk mengadakan pilihanraya umum pada Jun.

“Negeri Sembilan sudah bergoyang untuk BN. Saya tak rasa beliau akan mengambil risiko untuk membiarkan Negeri Sembilan mengadakan pilihanraya berasingan di April atau Mei sebelum pilihanraya parlimen di Jun. Jika Negeri Sembilan jatuh ke Pakatan Rakyat, ia akan mempunyai impak besar kepada pilihanraya negara,” tambah beliau.

Najib pula akan mengakhiri jelajah ‘Janji Ditepati’ di Pekan hari ini, kawasan parlimen beliau.

Pada hari Ahad, beliau dijangka akan menghadiri F1 Grand Prix di Sepang. Dan pada 26 Mac, Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa (LIMA) di Langkawi akan bermula untuk lima hari.

“Jadi saya rasa semuanya akan ditentukan 26 Mac ini. Hari itu, semua teka-teki akan berakhir,” kata Mustafa.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: