08 Mac 2013

Pelarian Syria cecah satu juta

25 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Pelarian Syria cecah satu juta
Sebahagian daripada keluarga dari Syria yang menunggu giliran untuk mendaftar di pusat UNHCR di utara bandar Tripoli, Lubnan, kelmarin.
 
DAMSYIK - Seorang ibu muda berumur 19 tahun menjadi pelarian kesejuta Syria yang mendaftarkan diri dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kelmarin.

Angka pelarian yang semakin meningkat dikhuatiri akan menyebabkan krisis kemanusiaan kerana sehingga kini lebih empat juta penduduk Syria dilaporkan telah melarikan diri selepas negara itu terjerumus ke dalam perang saudara sejak dua tahun lalu.

Pada masa ini, sejuta pelarian sudah mendaftarkan diri dengan agensi di bawah PBB tersebut manakala ratusan ribu lagi masih gagal berbuat demikian.

Kakitangan UNHCR, Panos Moumtzis berkata, walaupun jumlah pelarian Syria masih berada di tahap terkawal, ia mungkin akan menjadi lebih buruk.

"Sejak beberapa bulan lalu, sudah berlaku kebanjiran pelarian kerana kira-kira 7,000 penduduk meninggalkan Syria pada setiap hari. Angka pelarian yang mendaftar juga meningkat secara mendadak sejak Disember lalu," jelasnya.

Difahamkan,  kebanyakan daripada mereka terpaksa hidup berpindah-randah di beberapa kem pelarian di Syria sebelum merentasi sempadan untuk mendapatkan perlindungan di negara jiran seperti Turki, Jordan, Iraq dan Mesir.

Dalam perkembangan lain, Majlis Keselamatan PBB menuntut Tentera Pembebasan Syria (FSA) membebaskan lebih 20 anggota pasukan Pemantau Pengunduran PBB (Undof) yang diculik di zon gencatan senjata di Bukit Golan.

Menurut Ketua Pengaman PBB, Herve Ladsous, satu rundingan telah diadakan bersama penculik dan mereka berharap kesemua tebusan dibebaskan tanpa syarat. - AFP

Tiada ulasan: