25 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) hari ini menghadiahkan mawar merah kepada anggota polis wanita sempena Hari Wanita Sedunia.
Timbalan Ketua DMPP, Dr Siti Mariah Mahmud menghadiahkan jambangan bunga mawar merah kepada Pegawai Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Darlina Darno. (Gambar atas)
Dr Mariah juga menghadiahkan sekuntum mawar merah kepada setiap pegawai wanita di situ sambil mengucapkan 'Selamat Hari Wanita' dan 'Wanita Suara Perubahan'.
Mereka kelihatan gembira menerima bunga mawar tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada rombongan DMPP yang hadir.
Dr Mariah yang ditemui selepas itu berkata, DMPP akan sentiasa menjalankan kerjasama yang baik dengan pihak polis khususnya anggota wanita dan berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan telus tanpa mengira pangkat.
"Muslimat tidak pernah bermusuh dengan pihak polis dan kita hormati anggota polis yang bertugas dengan penuh tanggungjawab dan kami sangat menghargai wanita yang berada dalam pasikan ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.
Sambil mengucapkan 'Selamat Hari Wanita' kepada seluruh wanita di Malaysia, beliau menyeru wanita agar meningkatkan keupayaan diri dan sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi.
"Masyarakat tidak boleh menafikan peranan wanita dalam apa jua bidang. Di mana pun wanita berada, golongan ini mempunyai kuasa tersendiri dan tidak boleh dipandang remeh.
"Dalam proses membuat keputusan penting sekalipun, pandangan wanita amat berguna," katanya.
Sementara itu, Darlina berkata, beliau berasa dihargai apabila DMPP mengambil inisiatif sedemikian.
"Sepanjang lima tahun bertugas di sini, ini kali pertama ada wanita datang hadiahkan bunga dan kami rasa gembira dan dihargai.
"Sempena Hari Wanita ini, pesan saya kepada wanita agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan berwaspada selalu di mana pun anda berada," katanya ramah.
Difahamkan, DMPP seluruh Malaysia mengadakan acara sama di negeri dan daerah masing-masing.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan