08 Mac 2013

Selangor ambil alih Syabas terlebih dahulu

25 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk mengambil alih Syabas terlebih dahulu dalam proses pengambilalihan syarikat konsesi pembekalan air di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Selangor mengulangi bahawa mereka menyambut baik kesediaan semua syarikat konsesi air untuk terus mengadakan perbincangan pengambilalihan bagi menyokong  penstrukturan semula industri perkhidmatan air.

Mengenai perbincangan pengambilalihan ini, kerajaan Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah memulakan perbincangan dengan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) berkenaan pelupusan aset air dan liabiliti.

"Demi kepentingan rakyat, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan untuk terlebih dahulu mengambilalih Syarikat Bekalan Air Sdn Bhd (SYABAS)  yang merupakan pengedar tunggal bekalan air bersih di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Justeru, katanya, Kerajaan negeri telah meminta KDEB mempertimbangkan kemungkinan mengambilalih pengagihan bekalan dan operasi SYABAS terlebih dahulu.

Selepas itu, katanya, KDEB akan meneruskan mengambilalih syarikat konsesi lain iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) yang mana KDEB sudah menjadi pemegang saham terbesar.

Sementara itu, pengambilalihan satu lagi konsesi, Puncak Niaga Sdn Bhd bergantung kepada persetujuan KDEB dengan pemegang saham terbesar, Puncak Niaga Holdings Berhad, jelas beliau dalam kenyataannya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: