15 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
BALING - Lima belas pondok yang dijadikan kediaman pelajar Madrasah Nurul Islah, Kampung Parit Panjang di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.
Dalam kejadian 8.15 malam itu, seorang pelajar berusia 16 tahun luka akibat terkena kayu ketika membantu rakannya menyelamatkan kitab-kitab pengajian mereka.
Mudir Madrasah Nurul Islah Mohd Fadhil Abd Hamid, 34, berkata sewaktu kejadian pelajar yang mendiami pondok yang terbakar bersama pelajar lain seramai 90 orang sedang membaca surah Yasin di surau madrasah itu.
"Seorang pelajar yang terbatal wuduknya turun dari surau (untuk mengambil wuduk) dan terpandang api sedang marak membakar beberapa buah pondok," katanya.
Beliau berkata 15 pondok tidak dapat diselamatkan tetapi tindakan cepat pelajar itu dapat membantu menyelamatkan pondok-pondok berdekatan daripada turut musnah.
"Kami terpaksa mengunakan getah paip untuk menyalurkan air bagi memadamkan kebakaran sementara menunggu anggota Bomba Dan Penyelamat sampai," katanya.
Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Baling dan Sik dengan 14 anggota tiba untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
Seorang pelajar yang pondoknya musnah, Mohd Shahmil Mohd Ridzuan, 17, berkata dia terpaksa mengingatkan rakan-rakan lain supaya tidak masuk ke kawasan api yang sedang marak.
"Walaupun kami gagal menyelamatkan banyak kitab yang berharga serta pakaian dan kad pengenalan namun kami semua bersyukur kerana tiada seorang pun rakan kami yang cedera teruk," katanya.
Madrasah Nurul Islah yang mempunyai pelajar dari seluruh negara diasaskan pada 1968 dan masih mengekalkan sistem pondok untuk pelajarnya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan atau kewangan bagi meringankan beban pengurusan madrasah ini boleh membuat sumbangan melalui akaun Pondok Nurul Islah 02048010050907 (Bank Islam Malaysia Berhad) atau menghubungi Mohd Fadhil di talian 019-4616368.
Sementara itu, jurucakap Balai Bomba Baling ketika dihubungi berkata punca kebakaran masih disiasat.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan