15 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
FELDA KERTEH SATU – Seorang remaja tidak sempat sampai ke rumah selepas membeli ayam dipesan ibunya di kedai berdekatan, apabila dia terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van keselamatan di persimpangan jalan, dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.
Mangsa, Wan Muhammad Shafiee Wan Ismail, 18, yang menunggang motosikal dari arah Paka menghala ke Al Muktafi Billah Shah (AMBS) dalam perjalanan ke rumah dikatakan gagal mengelak sebuah van syarikat keselamatan yang cuba membelok masuk ke simpang.
Remaja terbabit kemudiannya merempuh van yang dalam perjalanan menghantar wang dari bank di AMBS ke Ketengah Jaya menyebabkan dia tercampak dan mengalami cedera parah di kepala serta badan.
Mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.
Menurut bapa mangsa, Wan Ismail Bakar, 66, anak lelakinya itu sebelum ini memperoleh 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.
“Ketika berada di rumah, saya diberitahu seorang kenalan mengatakan anak saya kemalangan.
“Sampai di tempat kejadian, saya lihat dia kaku berlumuran darah,” katanya.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian.
Menurutnya, kemalangan di kilometer 17 Jalan Paka-AMBS itu masih dalam siasatan.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan