26 April 2013

Waspada wabak politik wang

15 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Penyakit yang membarah ini diakui sendiri oleh semua pemimpin Umno.
PETALING JAYA: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bangsa Melayu bersama Umno ditarbiyah dan dididik dengan politik wang dan kebendaan.

“Penyakit yang membarah ini diakui sendiri oleh semua pemimpin Umno dengan menyatakan bahawa ianya sudah menjadi penyakit yang memburukkan usus dan menjadi kanser.
“Paling bahaya ianya juga telah merebak ke dalam jentera kerajaan dan rakyat Melayu apabila di setiap kali pilihan raya umum atau kecil,” kata beliau dalam blog rasminya kelmarin.
Menurut beliau, orang-orang Melayu di bawah Umno hilang jati diri, sehingga tidak mampu bertongkat dengan hak istimewa yang diberi nafas sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini masih berlaku walau pun Umno menang majoriti paling besar dalam pilihan raya sejak beberapa dekad yang lalu,” terang beliau yang turut bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 13 ini bagi mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang.
Katanya, setiap kali pilihan raya maka duit menjadi senjata kempen. Setiap kali pemilihan kepimpinan Umno juga wang tetap digunakan, kerana kedudukan dalam parti akan dapat menjamin kehidupan dan segala kesempatan.
Penyakit ini pernah menjadi sebab bersejarah kejatuhan umat terdahulu dengan hina, termasuk kuasa besar yang paling kaya dengan tamadun kebendaannya. Semuanya dikisahkan oleh Al Quran supaya menjadi petunjuk kepada seluruh manusia di sepanjang zaman, termasuklah orang-orang melayu terkini, katanya.
Ujar beliau, “ketika bangsa lain berpolitik memilih parti yang menjaga bangsa masing-masing dalam persaingan masyarakat majmuk, tiba-tiba bangsa Melayu masih lagi bersama Umno.
“Ada lagi di antara kita yang memilih parti yang mengagihkan duit dan segala habuan segera. Maka tunggulah padah menimpa diri sendiri, jangan menyalahkan orang lain,” tegas beliau.
Harta kekayaan
Hadi mengambil contoh tentang betapa buruknya perangai kaum Bani Israel berpolitik sebagai pengajaran kepada seluruh manusia, khususnya umat Islam, seperti firman Allah swt dalam ayat 247, Surah Al Baqarah yang bermaksud:
“Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: “Bahawasanya Allah telah melantik Tholut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: “Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami, sedang Kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?”
“Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Tholut) menjadi pemerintah kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”.
“Dan (ingatlah), Allah jualah Yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.”
Kata Hadi, kisah ini benar-benar berlaku di zaman dahulu, apabila bangsa Yahudi terhina dengan sehina-hinanya lantaran mereka meninggalkan kitab Taurat, sehingga mereka ditakluk oleh bangsa lain. Setelah beberapa generasi mereka hidup hina merempat, maka Allah mengutuskan seorang nabi mendidik mereka semula dengan kitab Allah.
Akhirnya mereka sedar dan insaf, serta bersedia untuk berjuang, menegakkan negaranya semula. Mereka telah memohon petunjuk Allah melalui nabi agar dapat melantik seorang raja yang menjadi pemimpin negara mereka.
Tiba-tiba Allah menunjukkan seorang tokoh yang bernama Tholut supaya dilantik menjadi pemimpin mereka dalam perjuangan menegakkan semula negara.
Namun begitu penyakit rohani masih ada dalam diri mereka, apabila kaum Bani Israel itu menolak dengan alasan raja yang dicadangkan tersebut bukanlah seorang yang kaya di kalangan mereka, Tholut yang dicadangkan itu bukanlah seorang kaya-raya.
Nabi itu memberi tahu bahawa petunjuk Allah supaya melantik seorang yang berilmu dan gagah perkasa, Tholut adalah tokoh paling layak.
“Kisah ini menunjukkan bahawa politik berteraskan harta menjadi penyakit bangsa Yahudi yang dimurkai Allah,” terang Hadi.
FMT/-

Tiada ulasan: