26 April 2013

Mati ditembak dalam kereta

15 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Mati ditembak dalam kereta

Anggota forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Mati ditembak dalam kereta

Seorang wanita dipercayai ahli keluarga mangsa meraung ketika tiba di tempat kejadian.
SEREMBAN – Seorang lelaki sempat memandu kereta sejauh kira-kira 40 meter sebaik saja ditembak dari jarak dekat oleh suspek bermotosikal, sebelum dia meninggal dunia apabila kenderaannya hilang kawalan lalu terbabas di tepi jalan.

Kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi di Jalan Seremban-Tampin, berhampiran kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, di sini apabila mangsa, N. Ragunathan, 39, yang memandu kereta jenis Proton Perdana sedang memandu sendirian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, mangsa dalam perjalanan menghala ke bandar Seremban, sebelum berhenti di tepi jalan berhampiran kompleks JPJ itu.

“Berdasarkan maklumat seorang saksi, kereta mangsa kemudian dihampiri dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z berwarna hitam.

“Pembonceng motosikal itu kemudian melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah cuba memandu untuk melarikan diri, bagaimanapun kira-kira 40 meter dari tempat kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas di tepi jalan.

Menurutnya, tembakan suspek mengenai kepala dan badan mangsa.

"Selepas menembak mangsa, suspek dipercayai melarikan diri ke arah Rahang, di sini," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Hamdan berkata, polis masih menyiasat motif serangan serta sedang mengenal pasti suspek terlibat berdasarkan maklumat saksi.

Katanya, polis percaya masih ada saksi lain yang melihat kejadian itu kerana ia berlaku pada waktu orang sedang ramai.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang tinggal di daerah ini bekerja sebagai orang tengah bagi membantu orang ramai berurusan dengan JPJ," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis sedang masih menyiasat sama ada serangan itu berkaitan dengan beberapa kes tembakan berlaku di bandar ini baru-baru ini.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Besar Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat. Kita minta saksi tampil kerana apa sahaja maklumat diperolehi boleh membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian yang enggan namanya disiarkan berkata, ketika kejadian, dia sedang menunggu bas tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Tapi tiba-tiba saya nampak kereta mangsa yang berhenti ditepi jalan didatangi sebuah motosikal.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa, tetapi tiba-tiba saya dengar bunyi tembakan dan nampak motosikal itu bergerak laju meninggalkan tempat itu," katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: