KLANG 26 APRIL: Sebuah kereta milik anak calon KEADILAN bagi kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dibakar
sekumpulan samseng, manakala menantunya diugut dengan parang, semalam.
Bercakap kepada Keadilan Daily, Xavier berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam tadi di garaj rumah beliau di Klang Jaya.
“Ketika
kejadian, saya berada di bilik gerakan parti bersama anak saya,
Sangetha. Cuma ada menantu, Dr Arnil Srimanne, cucu dan pembantu di
rumah,” kata Xavier.
Jelas beliau, sebelum kejadian, sebuah kereta dengan lima lelaki India berhenti di hadapan rumahnya.
Kemudian dua daripada mereka turun dan memanjat pagar sambil membawa dua bekas mengandungi minyak petrol.
“Terdapat dua kereta di garaj masa itu, dan hanya kereta Ford musnah
manakala sebuah lagi tak sempat dibakar sebab jiran-jiran semua sudah
keluar untuk melihat apa yang terjadi.
“Samseng
itu mengugut jiran-jiran agar jangan datang dekat. Menantu saya yang
cuba untuk keluar dari rumah pun mereka ugut dengan parang, sambil itu
mereka terus melarikan diri,” katanya.
Selepas dimaklumkan berhubung kejadian itu, Xavier dan Sangetha
bergegas pulang ke rumah. Polis tiba di tempat kejadian dan kini kes
masih dalam siasatan.
“Saya nampak kes ini sebagai satu ugutan, kerana saya merupakan calon
dan anak saya ejen pilihan raya mewakili saya, manakala pesaing saya
pula adalah Ketua Pemuda MIC yang terkenal dengan sikap samsengnya,”
kata Xavier.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Xavier menewaskan A Komala Ganapathy dari MIC dengan majoriti 10,203 undi.
Bagi PRU 13, Xavier akan menghadapi pertembungan lima penjuru dengan
calon BN, T Mohan, S Kottappan (Bebas), Hanafiah Husin (Bebas) dan P
Uthayakumar (Bebas).
keadilandaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan