26 April 2013

Lelaki mati ditembak dihadapan lampu isyarat bulatan Taman Billion

15 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki mati ditembak di hadapan lampu isyarat di bulatan Taman Billion, Cheras di sini hari ini.
   
R. Karikaalan, 29, mati ketika dalam perjalanan ke hospital setelah terkena dua dari 10 das tembakan yang dilepaskan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
   
Kejadian pada pukul 11.30 pagi itu turut menyebabkan ibu Karikaalan yang berusia 60 tahun cedera di lengan kanan.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata ketika kejadian, Karikaalan bersama ibunya dalam perjalanan dari Ampang untuk ke rumahnya di Taman Puchong Hartamas.
   
"Ketika berhenti di lampu isyarat itu, sebuah motosikal yang dinaiki dua lelaki memakai topi keledar bercermin gelap menutup muka menghampiri kenderaan jenis Nissan Livina berwarna hitam yang dinaiki mangsa dan ibunya dan melepaskan tembakan," katanya kepada pemberita di sini.
   
Ku berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya kemungkinan mangsa dibunuh kerana terlibat dalam pergaduhan dengan satu kumpulan di Puchong sebelum ini.
   
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.  

- Bernama

Tiada ulasan: