20 April 2013

Guan Eng Hadapi Saingan Tiga Penjuru Di Parlimen Bagan

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


BUTTERWORTH: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mempertahankan kerusi parlimen Bagan akan menghadapi pertandingan tiga penjuru apabila dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).
Calon BN Chua Teik Siang (BN) dan calon PCM Lim Kim Chu adalah muka baharu yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya.
Kawasan yang mempunyai 59,385 pengundi itu merupakan kubu kuat pembangkang namun sekarang lebih condong kepada BN ekoran Chua yang selalu turun padang dan disukai ramai.
Kerusi DUN Bagan Dalam dalam parlimen Bagan, menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon BN Karuppanan M.Malairaja (MIC), Tanasekharan Autherapady (DAP), Lim Seang Teik (PCM) dan calon bebas Asoghan Govindaraju.
DUN Bagan Jermal pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon B NTan Chuan Hong (MCA), Lim Hock Seng (DAP) dan Lim Kim Chu (PCM) manakala DU NSungai Puyu pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Sum Yoo Keong (MCA) dengan DAP Phee Boon Poh.
Guan Eng yang ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di sini, berkata semua calon DAP boleh menggunakan simbol roket parti untuk PRU13 ini.
"Tiada bantahan dari pegawai pilihan raya menggunakan simbol roket DAP," katanya.
Guan Eng berkata ini adalah kerana ibu pejabat DAP telah menerima surat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada pukul 10 malam tadi menyatakan ia tidak mempunyai bantahan terhadap penggunaan simbol roket dalam PRU13. 
mStar/-

Tiada ulasan: