9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
KUALA TERENGGANU, 20 April — Calon paling tua di Terengganu, dan mungkin di seluruh negara pada pilihan raya umum ke-13, Maimun Yusof, 93, sekali lagi bertanding sebagai calon Bebas untuk Parlimen Kuala Terengganu.
Pencalonan warga emas itu diterima oleh Pegawai Pengurusan Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu Datuk Adzlan Dagang hari ini.
Kemunculan kali kedua itu menyebabkan Maimun yang mesra di panggil ‘Tok Mun’ menjadi tumpuan media di pusat penamaan calon di Stadium Negeri di sini.
Penyertaan Tok Mun itu menyebabkan kerusi Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu antara calon Barisan Nasional Mohd Zubir Embong dan calon PAS Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad serta calon Bebas.
Tok Mun yang berbaju kurung coklat tiba di perkarangan Stadium Negeri seawal pukul 7 pagi dengan menaiki kereta sewa ditemani cucu angkatnya Nur Haslinda Mustafa, 31, yang menjadi pencadangnya serta seorang jiran, Timah Salleh yang menjadi penyokong.
Warga emas yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRU12 juga di Parlimen Kuala Terengganu sekali lagi memilih lambang ‘kunci’ untuk pilihan raya kali ini.
“Tok pilih simbol ini supaya hati pengundi-pengundi tok yang terkunci dapat dibuka supaya dapatlah mengundi tok untuk menang,” katanya sambil memberitahu beliau menggunakan duit simpanan dan hasil jual kain serta keropok sebagai deposit.
Maimun adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan turut menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 awal tahun ini.
Pada PRU 2008, Tok Mun yang menentang bekas penyandang Allahyarham Datuk Razali Ismail dan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu hanya mendapat 685 undi dan hilang wang pertaruhan.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan