20 April 2013

Khalid, Zul Noordin bertarung di Shah Alam

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Dua bekas rakan seperjuangan sempat berbual pendek dan bersalaman selepas selesai mengisi borang penamaan calon.
SHAH ALAM: Kerusi P108 Parlimen Shah Alam menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PAS Khalid Samad dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Zulkifli Noordin.

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19 di sini hari ini.
Zulkifli, segak berbaju Melayu coklat tiba di sini kira-kira 8.45 pagi tadi manakala Khalid yang memakai baju Melayu pucuk pisang dan bercapal tiba 10 minit kemudian bersama penyokong PAS.
Khalid turut masuk ke dalam dewan bersama-sama calon PKR kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik Yaakob Sapari serta calon DUN Batu Tiga Rodziah Ismail (PKR).
Zulkifli menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.05 pagi manakala Khalid pada pukul 9.30 pagi tadi.
Zulkifli dan Khalid, dua bekas rakan seperjuangan kemudiannya sempat berbual pendek dan bersalaman selepas selesai mengisi borang penamaan calon.
Sementara itu, N40 DUN Kota Anggerik menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Mohd Yusof Din, Yaakop (PKR) dan Eriq Faisal Rusli (Bebas).
N41 DUN Batu Tiga juga tiga penjuru antara Datuk Ahmad Nawawi M Zin (BN), Rodziah (PKR) dan Mohd Uzir Che Husin (Bebas).
Suasana aman
Sementara itu, suasana diluar perkarangan dewan kelihatan aman tanpa sebarang provokasi daripada penyokong Pakatan Rakyat mahu pun BN.
Penyokong yang tiba sejak awal 8.00 pagi tadi membawa bendera dan sepanduk dilihat sabar menunggu sehingga selesai proses penamaan calon walaupun terpaksa berdiri dibawah panas terik matahari.
Terpisah dengan jarak kira-kira 200 meter, dua kumpulan penyokong turut bertakbir, menyanyi dan mendengar ucapan wakil pemimpin bagi mengurangkan keresahan menunggu selama empat jam.
Berlaku sedikit kekecohan pada pukul 12 tengahari tadi semasa Mohd Jaafar mahu membuat pengumuman rasmi apabila Khalid tidak berpuas hati kerana penyokong Pakatan Rakyat berdiri agak jauh daripada dewan berbanding penyokong BN.
Namun kerjasama toleransi antara pihak SPR dan polis, permintaan Khalid diterima dan penyokong Pakatan Rakyat dibenarkan mendekati perkarangan dewan.
Senarai penuh P108 Shah Alam:
Khalid Abdul Samad (PAS)
Zulkifli Noordin (BN)

N40 DUN Kota Anggerik
Mohd Yusof Din (BN)
Yaakop Sapari (PKR)
Eriq Faisal Rusli (Bebas)

N41 DUN Batu Tiga
Datuk Ahmad Nawawi M Zin (BN) 
Rodziah (PKR)
Mohd Uzir Che Husin (Bebas)

FMT/-

Tiada ulasan: