20 April 2013

Muhyiddin: Umno pecat Kamilia Ibrahim

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


penamaan calon

KUALA LUMPUR - Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim keluar daripada semangat kesepakatan parti dengan mengemukakan pencalonan untuk bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada pilihan raya umum 5 Mei ini.
   
Tindakan beliau mendorong tindakan segera Umno untuk memecat keanggotaan Kamilia dalam parti secara automatik.
   
Pemecatan beliau diumumkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas tamat proses penamaan calon bagi PRU13 di seluruh negara hari ini dan Kamilia disahkan bertanding di Kuala Kangsar.
   
"Tindakan beliau (Kamilia) jelas bertentangan dengan perlembagaan dan peraturan Umno, serta tidak selari dengan semangat perjuangan parti," kata timbalan perdana menteri kepada pemberita selepas mengemukakan kertas pencalonan beliau sendiri untuk kerusi Parlimen Pagoh di Johor.
   
Surat pemecatan Kamilia akan dikeluarkan Isnin ini.
 
Sebelum ini, Kamilia pernah menyuarakan kekecewaannya dengan mengatakan Barisan Nasional tidak meletakkan pemimpin tertinggi Wanita Umno dan BN sebagai calon dalam PRU13, sedangkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa Kamilia yang menolak tawaran bertanding, bagi kerusi Dun Bukit Chandan kerana mahu bertanding kerusi Parlimen Kuala Kangsar.
   
Kamilia juga turut ditawarkan jawatan Exco jika BN menubuhkan kerajaan di negeri Perak tetapi beliau turut menolaknya, kata perdana menteri.
   
Beliau berkata sehubungan itu, tidak timbul sama sekali soal Kamilia tidak diberi tempat dalam PRU13 atau tidak dihargai oleh BN.
   
Sementara itu Kamilia mengumumkan dalam laman Facebooknya bahawa beliau meletakkan semua jawatan dalam Umno berikutan beliau bertanding sebagai calon Bebas.
   
Selain naib ketua Wanita Umno, Kamilia juga memegang jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Wanita Umno Kuala Kangsar.
   
Kamilia akan menentang calon BN Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Dr Khalil Idham Lim daripada Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar yang disandang bekas Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz.  

- Bernama

Tiada ulasan: