20 April 2013

Najib dan Muhyiddin julung kali ketuai calon BN pada PRU

9 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Najib Tun Razak

Najib yang juga calon BN bagi Parlimen P85 Pekan bersama calon-calon BN berarak menuju ke pusat penamaan calon di Dewan Sultan Ahmad Shah, Pekan hari ini.
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin buat julung kali mengetuai calon Barisan Nasional (BN) bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ini.
Najib, dilantik sebagai Perdana Menteri pada 3 April 2009, dan Muhyiddin dilantik sebagai timbalannya pada 10 April 2009, memimpin pasukan Transformasi BN yang merangkumi lebih ramai calon muka baharu dan muda, serta muka lama yang lebih berpengalaman untuk memastikan kemenangan lebih cemerlang buat parti gabungan itu.

Najib ketika menyampaikan watikah pencalonan kepada presiden parti komponen dan pengerusi perhubungan BN negeri Isnin lepas, melahirkan keyakinan bahawa pasukan itu mampu memenuhi Aku Janji BN, dan memacu pelan tranformasi yang dirancang kerajaan.

Najib dalam mesej twitternya hari ini yakin pasukan BN yang bertanding dalam PRU13 akan membawa Malaysia berubah ke tahap lebih tinggi.

Pada PRU kali ini, pengerusi BN itu akan berdepan calon PKR Fariz Musa, manakala Muhyiddin pula berdepan calon PAS Mohd Rozali Jamil.

Kedua-kedua pemimpin itu mengemukakan borang pencalonan di kawasan Parlimen masing-masing, Najib di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang dan Muhyiddin di Kompleks Sukan Pagoh, Pagoh, Johor.

Najib akan mempertahankan kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya sejak 1976 manakala Muhyiddin pula mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang disandangnya sejak tahun 1978.

Najib hari ini turut mengingatkan calon dan jentera BN supaya jangan mensia-siakan apa yang telah dilakukan oleh parti gabungan itu dalam membangunkan negara ini.

"Inilah masa kemuncaknya. Jangan sia-siakan apa yang kita lakukan. Janji ikrar kepada rakyat dan Aku Janji BN merupakan komitmen kita kepada pengundi dan rakyat Malaysia," katanya di Pekan, Pahang.

Mulai hari ini, calon PRU akan mula berkempen dan pasukan transformasi BN akan turun padang, terutamanya dalam menerangkan kepada rakyat tentang manifesto Aku Janji BN yang menggariskan 17 perkara yang merangkumi kesejahteraan rakyat.

Kesemua calon mempunyai tempoh 15 hari untuk berkempen sebelum pengundian 5 Mei ini.

Sinar/-

Tiada ulasan: