25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
KUANTAN - Sepucuk pistol jenis Norinco semi auto 9 mm kaliber bersama kelopak dan enam butir peluru ditemui dalam sebuah beg yang disorok dalam semak belakang sebuah rumah di jalan pintasan ke Taman Astaka Village, Jalan Tanjung Lumpur di sini, 2 April lalu.
Penemuan senjata api buatan China itu susulan siasatan lanjut ke atas salah seorang daripada empat suspek yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes rompakan bersenjata api ke atas tujuh sekeluarga di Taman Ceria di sini, 27 Mac lalu.
Suspek berusia 41 tahun itu mendedahkan dia menyembunyikan pistol itu di belakang rumah sewanya selepas disoal siasat kira-kira jam 9.30 pagi hari yang sama.
Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, susulan maklumat itu, siasatan dijalankan sebelum menemui sebuah beg dalam belukar yang mengandungi senjata api berserta peluru itu.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti kemungkinan pistol itu pernah digunakan untuk tujuan jenayah lain.
“Bagaimana pun, polis tidak menemui sebarang harta curi di lokasi penemuan pistol tersebut,” katanya di sini, semalam.
Pada 28 hingga 30 Mac lalu, suspek bersama tiga rakannya ditahan kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes rompakan bersenjata api yang dilaporkan berlaku di daerah ini.
Susulan penahanan suspek berusia antara 37 hingga 41 berasal dari sekitar Kuantan dan Selangor itu, polis menemui dan merampas sepucuk pistol jenis Revolver, sebilah parang dan 10 butir peluru hidup.
Turut ditahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang bekerja di sebuah pusat hiburan di sini kerana didapati menyimpan peluru hidup bagaimana pun lelaki itu menafikan terlibat dalam kejadian samun tersebut.
Shaifuddin berkata, pihaknya percaya beberapa kes samun bersenjata api yang dilaporkan di daerah ini sejak tahun lalu berjaya diselesaikan berikutan penahanan empat suspek terlibat.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan