06 April 2013

Abdul Ghani lawan Kit Siang?

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Abdul Ghani Othman

Abdul Ghani Othman
LEDANG - “Tak mau, tak mau...nantilah," kata Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang enggan mengulas lanjut ketika ditanya spekulasi beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah pada PRU13.

Beliau kemudian meninggalkan pihak media sebelum masuk menunaikan solat Jumaat di Masjid  Batu 18, Sengkang, Bukit Gambir  dekat sini, semalam.

Terdahulu kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, Abdul Ghani melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sengkang dan PDM Parit Babok,  diiringi bekas Ahli Parlimen Ledang, Ir  Hamim Samuri dan Ketua Pemuda Umno  Ledang, Zaidi Abd. Majid.

Kelmarin, akhbar tempatan melaporkan beberapa pemimpin Umno di peringkat negeri mencadangkan Abdul Ghani bertanding di Parlimen Gelang Patah menentang Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Abdul Ghani dikatakan sebagai calon paling sesuai untuk bertanding di kawasan  itu yang merupakan sebahagian daripada Iskandar Malaysia yang dibangunkan dan dilancarkan semasa di bawah pentadbirannya.

Di Skudai, MCA seakan memberi laluan malah tidak menolak kemungkinan Abdul Ghani bakal bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah.

Bagaimanapun, Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi lek berkata, belum ada sebarang keputusan mengenai isu pertukaran kerusi di Parlimen milik MCA itu diperbincangkan.

“Perbincangan di kalangan pemimpin komponen BN akan diadakan, keutamaan kita adalah untuk menang dan mampu pertahankan kerusi yang disandang.

“Kita yakin pengundi mahukan calon yang mempunyai rekod yang baik. Abdul Ghani mempunyai ‘track record’ yang terbukti sebagai menteri besar yang diterima oleh semua kaum,” katanya.

Soi Lek menggesa masyarakat negeri ini khususnya di Gelang Patah agar tidak terpedaya dengan hasutan pembangkang seterusnya memberi sokongan terhadap calon BN dengan berpegang kepada semangat gagasan 1 Malaysia.

“Berdasarkan ramalan DAP, mereka yakin mampu memperolehi 85 peratus sokongan kaum Cina kerana jumlahnya di Parlimen Gelang Patah telah mencecah lebih 53 peratus. DAP sudah memperolehi 45 peratus undi daripada masyarakat Tiong Hua.

“Untuk menang di Gelang Patah, DAP berpendapat hanya memerlukan lima peratus daripada sokongan kaum Melayu dan India. Bagi memperolehi undi pengundi Melayu mereka mengharap Pas,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang keputusan berhubung isu calon hanya akan diputuskan di peringkat Pusat.

“Saya enggan ulas, sama ada ia benar Abdul Ghani bertanding di peringkat Parlimen sekali gus ke federal. Biar pucuk pimpinan Pusat tentukan,” katanya.

Sinar/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pendapat saya, Muhyidin Yasin paling layak. Sebagai bekas menteri besar johor dan bekas TPM, Muhyidin calon yang terbaik.