06 April 2013

Pemuda Pas sambut baik Mat Sabu tanding di Pendang

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Mohamad Sabu

Mohamad Sabu
ALOR SETAR – Pemuda Pas Pendang menyambut baik kenyataan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu untuk bertanding di Kedah, khususnya di Parlimen Pendang.

Ketuanya, Muhd Fuzi Saad berkata, pihaknya gembira dengan kenyataan tersebut memandangkan beliau yang lebih dikenali sebagai ‘Mat Sabu’ amat disegani masyarakat setempat.

“Pada Pemuda, kita terima siapa saja calon yang telah diputuskan pusat dan akan terus menggerakkan kerja lebih serius untuk mengekalkan kemenangan Pas di Pendang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Pemuda Pas juga telah mengatur pelbagai pendekatan yang melibatkan rakyat untuk merapatkan lagi hubungan kepimpinan Pas di peringkat akar umbi secara berterusan.

“Alhamdulillah, respons yang kami perolehi terutama dari penduduk Pendang amat positif. Dalam masa sama, memberi keyakinan untuk Pas terus kekal di kawasan Pendang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus yang mengatakan kemungkinan Mat Sabu akan bertanding di kerusi Parlimen Pendang pada PRU13.

Katanya lagi, pihaknya juga tidak akan menolak siapa sekalipun calon yang telah diputuskan oleh pusat untuk bertanding, sebaliknya akan terus menyokong dan membantu memenangkan Pas di Pendang.

“Kita akan ikut arahan pusat. Tidak kisah siapa pun calon, asalkan Pas menang,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: