25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
IPOH - Polis Perak akan melancarkan rondaan pencegahan jenayah menggunakan basikal pada pertengahan bulan ini di kawasan pedalaman di negeri ini, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan.
Beliau berkata, penggunaan basikal adalah lebih mesra dalam usaha mendekati masyarakat berbanding kereta peronda selain boleh membantu kerajaan mengurangkan penggunaan petrol bagi memelihara alam sekitar.
"Dengan menggunakan basikal kita akan ada banyak ruang untuk berinteraksi dengan masyarakat," katanya kepada pemberita pada Program Kayuhan Santai Sempena Peringatan Hari Polis Ke-206 Polis Diraja Malaysia, Perak, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan menerima 85 buah motosikal untuk memantapkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di negeri ini.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata, bilik gerakan di ibu pejabat polis di negeri ini dan pejabat polis daerah yang diwujudkan sempena pilihan raya umum ke-13 mula beroperasi sejak Dewan Rakyat dibubarkan dan 8,000 anggota telah bersiap sedia untuk memastikan pemantauan berjalan lancar.
Katanya menjelang pilihan raya itu, rondaan di kawasan yang banyak menganjurkan aktiviti politik juga dipertingkatkan.
"Saya menyeru orang ramai yang terlibat dalam pilihan raya kali ini khususnya parti-parti politik ataupun individu yang berkepentingan dengan pilihan raya supaya patuh dengan undang-undang bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan