06 April 2013

3 termasuk pasangan pengantin baru maut

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


MUAR - Tiga termasuk pasangan pengantin baru maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah dalam   kemalangan membabitkan kereta, lori dan bas persiaran di Km162.5, Lebuh Raya Utara Selatan di sini malam tadi.
Pasangan pengantin itu, Kumar Arunasalam, 34, dari Kampung Serani, Melaka dan isterinya Rita Maria Gilrelt, 42, warganegara   Singapura dan Carrieanne Fransisca Dicosta, 22, dari Kampung Portugis, Melaka, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pang Yun, 59, dari Tangkak Jaya yang cedera parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tangkak manakala Brian Jeremieh Sta Maria, 21, dari Kampung Portugis, Melaka hanya mengalami cedera ringan dan diberi rawatan pesakit luar di hospital sama, kata Ketua Polis Daerah Ledang Supt Harun Idris.

Katanya kemalangan tersebut berlaku pada kira-kira pukul 10.45 malam tadi semasa kelima-lima mereka yang menaiki kereta Proton Waja yang dipandu Pang dalam perjalanan dari Singapura ke kampung pasangan pengantin itu di Melaka.

Katanya pasangan suami isteri itu baru dua minggu mendirikan rumah tangga. Beliau berkata 12 anggota Jabatan Bomba dan  Penyelamat Tangkak dan  Muar mengambil masa setengah jam untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan yang remuk itu.

Pemandu bas persiaran dan lori satu tan yang terbabit dalam kemalangan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. - Bernama

Tiada ulasan: