06 April 2013

PRU13 catat sejarah, peluang PR terbuka luas

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Bubar Dun dan Adun

.
SHAH ALAM - Pembubaran Dewan Rakyat yang membuka laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) disifatkan sebagai pilihan raya paling bersejarah di negara ini oleh pemerhati politik.

Menurut Pengarah Umcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, ini adalah satu-satunya pilihan raya yang meletakkan pembangkang dalam keadaan lebih bersedia untuk bertempur bagi menawan tampuk kuasa.

"Biasanya pilihan raya diadakan mengejut. Pembangkang mahu pun Pakatan Rakyat selalunya tidak bersedia. Tetapi kali ini saya difahamkan, ada calon pembangkang ini yang sudah tahu awal jadi calon, sudah menyiapkan poster mereka.

"Dalam satu keadaan mereka mungkin lebih bersedia daripada BN," ujar beliau kepada Sinar Harian Online.

Pada pilihan raya lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) menerima satu kejutan apabila gagal mempertahankan majoriti kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat.

Kenangan paling pahit buat BN apabila Selangor yang merupakan negeri terkaya jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR).

Selain gagal menguasai Kelantan, BN juga gagal mempertahankan  Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Perak bagaimanapun kembali kepada BN kira-kira setahun kemudian setelah tiga wakil rakyat yang dipilih mengisytiharkan sokongan mereka kepada BN.

Ketika Parlimen dibubarkan Rabu lalu, komposisi di Dewan Rakyat ialah BN menguasai 137 kerusi, DAP (29), Pas (23), PKR 23 kerusi, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) masing-masing satu kerusi.

Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas. Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Umum 2008, 16 pilihan raya kecil yang diadakan dimenangi secara sama rata oleh BN dan PR.
Ini menambah cakap-cakap bahawa ini adalah pilihan raya paling sengit.

Mengulas lanjut, Redzuan berkata, pihaknya sudah melakukan kajian meliputi 23 kerusi panas pada pilihan raya kali ini bagi melihat peluang kedua-duanya parti ini kelak.
"Antaranya seperti Pandan dan Lembah Pantai," ujar beliau.

Sementara itu, menurut Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Sufian, mana-mana parti yang mendahului dalam isu nasional berpeluang menang dalam medan tempur ini.

"Ini adalah pertembungan dua idea yang begitu berbeza.

"Dari segi perspektif pilihan raya, benar calon main peranan tetapi calon baru yang tidak dikenali, orang-orang yang tidak ada pengalaman agak sukar untuk mereka ini bersaing pada kali ini," ujarnya.

Mengulas lanjut, Ibrahim memberitahu, tempoh masa yang agak lama diambil bagi membubarkan Parlimen memberi peluang kepada pakatan pembangkang mempersiapkan jenteranya bagi melawan kekuatan Umno-BN.

"Pihak Pakatan Rakyat, mereka sudah mencari dan merekrut, meletakkan orang-orang yang agak berpengalaman dan berpengaruh sebagai calon," katanya.

BN dan PR juga katanya dilihat mengamalkan pendekatan yang agak berbeza dalam usaha mendekati seterusnya menawan hati pengundi mengikut kelompok sasaran masing-masing.

"BN kalau kita lihat menguasai media arus perdana dan di peringkat akar umbi tetapi pembangkang pula mereka agak aktif dan bertenaga di sosial-sosial media. Tetapi kalau kita lihat kepada perkara lain, BN memang ada kelebihan," katanya.

Mengulas mengenai kesediaan pihak pemerhati menjalankan kajian dan analisis pilihan raya, Ibrahim berkata, tumpuan lebih diberikan kepada kerusi-kerusi yang mempunyai rekod sebelum ini.

"Kerusi-kerusi yang kita perhatikan adalah kerusi-kerusi yang sebelum ini ada pergaduhan atau cetus kontroversi.

"Kita juga memerhatikan kawasan-kawasan yang banyak pertambahan bilangan pengundi," katanya.

Antara kawasan yang menjadi perhatian di sekitar Lembah Klang ialah Shah Alam, Hulu Langat, Subang dan beberapa kawasan lagi.

Merdeka Center merupakan salah satu pemerhati pilihan raya yang dilantik oleh SPR. Enam NGO dilantik oleh SPR bagi tujuan itu.

Sebuah lagi badan NGO yang dilantik oleh SPR sebagai pemerhati pilihan raya ialah Ideas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Saiful Wan Jan ketika dihubungi Sinar Harian Online berkata, Malaysia akan menyaksikan pertempuran pilihan raya paling hebat - yang tidak pernah disaksikan sebelum ini - pada PRU13 ini.

"Selama ini kita menyaksikan parti-parti lain atau pembangkang tidak pernah ada peluang selain Barisan Nasional. Tetapi tidak kali ini," ujar beliau.

Menurut Wan Saiful, sebagai pemerhati yang dilantik oleh SPR, pihaknya akan menumpukan kepada 102 kerusi sama ada di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Yang menjadi tumpuan antara 50-60 kerusi yang merupakan kerusi agak panas.

"Fokus negeri ialah di Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Johor," ujar Wan Saiful lagi.

Jelasnya, tumpuan tentunya akan diberikan kepada kerusi-kerusi yang akan ditandingi pimpinan-pimpinan penting juga seperti Parlimen Pekan dan Pagoh misalnya.

Walaupun hanya menang 140 kerusi pada pilihan raya umum lalu, BN yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Razak berkeyakinan mampu memperoleh kemenangan dengan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya kali ini seterusnya mempertahankan kuasa di Putrajaya.

Sementara pembangkang pula yang diwakili oleh Pas, PKR dan DAP yakin dapat menakluk Putrajaya kerana dasar-dasar yang dibawa dilihat memberikan kehidupan dan alternatif kepada rakyat Malaysia.

Sinar/-

1 ulasan:

Unknown berkata...

Insya Allah PR akan menang lebih dari 131 kerusi Perlimen. Insan dipenjara dahulu insy Allah bakal jadi PM baru. Ini lah merupakkan ketetapan Illahi...