06 April 2013

PRU13: PAS Perak isytihar calon 9 April

25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


IPOH: PAS Perak akan mengsiytiharkan senarai calon yang akan bertanding dalam Pilihan  raya Umum ke-13 (PRU13) nanti pada 9 April ini.


Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Hussien berkata, pengisytiharan tersebut akan dibuat dalam satu majlis di Pasir Panjang, Manjung.

Katanya, setakat ini proses pemilihan calon sudah selesai 100 peratus dan tidak ada sebarang masalah yang timbul.

“Pemilihan calon selesai tanpa sebarang masalah dan jika tidak ada aral yang melintang PAS Perak akan mengisytiharkan pada 9 April ini di Pasir Panjang, Lumut,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Pejabat PAS Perak.

Mengulas lanjut, Ustaz Abu Bakar menggesa semua ahli serta penyokong PAS dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihanraya.

Katanya, dalam masa yang ada ini, semua pihak berperanan besar untuk membantu menarik sokongan rakyat kepada PAS dan Pakatan Rakyat itu sendiri.

Semua ahli juga, katanya hendaklah sentiasa bersama-sama rakyat dan berusaha memberi kefahaman yang jelas tentang perjuangan PAS untuk menegakkan kalimah Allah di Negara ini.

Ujarnya, manifesto yang ditawarkan hendaklah disebar luaskan kepada semua masyarakat pelbagai khususnya golongan atas pagar dan orang Umno.

“Yang diberi amanah hendaklah bekerja lebih kuat manakala yang tidak berjawatan juga mempunyai tanggungjawab besar untuk menyampaikan mesej dan maklumat kepada masyarakat,” jelasnya lagi.

Dalam suasana pilihanraya ini, beliau meminta supaya semua ahli dan pendokong mendekatkan diri kepada Allah dengan mengadakan munajat dan solat hajat kepada Allah agar memberi perlindungan kepada semua jentera.

“Semua ahli PAS juga diseru mengadakan qunut nazilah dan solat hajat supaya Allah jauhkan diri kita daripada sebarang ancaman, kezaliman dan pihak yang berusaha untuk melakukan huru-hara dan penganiayaan,” jelasnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: