25 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
PRU ke 13 akan menyaksikan pertarungan paling sengit dan semua akan tertumpu kepada kerusi parlimen Gelang Patah di mana Penasihat DAP Lim Kit Siang dijangka bertemu Menteri Besar Johor Ghani Othman.
Setelah berteka teki dan membuat berbagai ramalan, akhirnya Datuk Seri Najib Tun Razak mengisytiharkan pembubaran Parlimen untuk membolehkan rakyat Malaysia mempunyai kesempatan untuk memberi mandat serta memilih sebuah kerajaan yang baru.
Perdana Menteri yang tidak pernah mendapat mandat daripada rakyat itu memilih tarikh 3 April 2013 untuk membubarkan Dewan Rakyat kerana tarikh itu amat signifikan bagi dirinya kerana telah genap empat tahun beliau mengambil alih tampok pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 April 2009.
Sehari selepas itu, beliau terus menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ingin bertanding di Perak dan menuduh Anwar melarikan diri dan mengabaikan para penyokong setianya di Permatang Pauh.
“Anwar tiada keberanian untuk mempertahankan kerusi parlimennya di Permatang Pauh. Tapi saya akan terus hidup dan mati bersama pengundi dan penduduk Pekan,” kata Najib
“Saya akan mempertahankan kerusi parlimen Pekan dalam Pilihan Raya Umum (PRU13) akan datang ini, tidak seperti Datuk Seri Anwar yang akan mengabai dan meninggalkan para pengundi di Permatang Pauh.
“Saya tidak akan mimpi untuk meninggalkan Pekan. Saya akan hidup dan mati di Pekan,” kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat dengan ahli-ahli majlis tertinggi Umno dan presiden parti komponen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 4 April lalu.
Berita terbaru, Anwar memilih untuk kekal bertanding dan mempertahankan kerusinya di Permatang Pauh pada PRU13 ini setelah membatalkan hasratnya untuk bertanding di Lumut atau Tambun. Hasrat beliau untuk bertanding di Perak adalah atas strategi politik untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat di Perak.
Beliau mahu bersama pengundi setia dan penyokongnya yang telah banyak berkorban dengan memilihnya untuk menjadi wakil rakyat mereka untuk sekian lama walaupun berbagai halangan dan rintangan dihadapi Anwar daripada musuh-musuhnya.
Entah apa pula alasan atau komen Najib kali ini berhubung dengan keputusan Anwar untuk tetap bertanding di Permatang Pauh atau Anwar kini takut untuk keluar bertanding luar dari kawasannya.
Lim vs Ghani
Tetapi dalam PRU13, yang dianggap paling sengit kali ini, pertarungan hebat yang dinanti-nanti ialah di antara Penasihat DAP Lim Kit Siang dengan prospek bertemu Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di parlimen Gelang Patah.
Lim, yang akan meninggalkan kawasan parlimen Ipoh Timur berkata, “saya telah membuat keputusan untuk bertanding di Gelang Patah, bukan untuk diri saya atau DAP tetapi untuk rakyat dan negara ini.
Sementara Ghani, menteri besar selama empat penggal itu berkata, tidak….tidak…. tunggu dulu apabila diasak oleh para pemberitahu. Reaksi beliau ini menunjukkan beliau tidak pasti lagi kedudukannya walaupun beliau dipujuk oleh beberapa pemimpin Umno untuk menentang Lim di Gelang Patah.
Pada kira-kira jam 8.30 malam ini, Najib akan membentangkan manifesto BN pada suatu majlis di Stadium Putra, Bukit Jalil, dekat Kuala Lumpur yang akan memberi tumpuan kepada konsep ‘rakyat didahulukan’ dalam doktrin 1Malaysia.
Manifesto yang inklusif ini memberi fokus kepada usaha menggalakkan keadilan sosial, tanggungjawab fiskal dan memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi dan Najib menekankan bahawa manifesto ini tidak akan menyimpang jauh dari pelan transformasi yang diperkenalkannya.
Umno-BN, dulunya parti Perikatan tidak pernah tewas dalam PRU sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 tetapi para pemimpinnya hari ini berdepan dengan Pakatan Rakyat yang berjaya menafikan majoriti dua pertiga dalam PRU12 lalu.
Umno-BN parti tua, uzur
Parti pemerintah yang tua, uzur dan nyanyok ini sedang menghadapi cabaran paling getir dalam sepanjang perjalanan sejarah hidupnya dan kini berdepan kemungkinan disingkirkan oleh rakyat yang kini semakin matang dan sedar akan perlunya kepada perubahan yang bersifat total.
Apabila disebut Umno-BN ini merupakan sebuah parti yang tua, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin cepat-cepat menafikannya. Beliau berkata, BN bukan sebuah parti yang tua seperti yang didakwa oleh pembangkang tetapi sebuah parti yang senantiasa menukar para pemimpinnya agar lebih bertenaga dan berwawasan.
Sebenarnya Umno-BN merupakan sebuah gabungan parti politik yang tua, uzur dan nyanyok berdasarkan kenyataan para pemimpinnya yang sering membuat pelbagai tuduhan terhadap pemimpin-pemimpin pembangkang, khususnya dari Pakatan Rakyat.
Apabila mereka terlibat dengan salah guna kuasa, mereka menuduh pemimpin Pakatan yang terlibat dengan salah guna kuasa. Apabila mereka kuat mengamalkan rasuah, mereka akan mencari bukti-bukti untuk mencuba memalitkan pemimpin pembangkang dengan perbuatan rasuah.
Apabila negeri-negeri di bawah pentadbiran Umno-BN setiap tahun mencatat defisit kewangan yang teruk, mereka menuduh para pemimpin Pakatan tidak pandai memerintah negeri-negeri Pakatan yang terdiri dari Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Mereka mendakwa negeri-negeri Pakatan gagal menarik para pelabur luar untuk membuat pelaburan walaupun pada hakikatnya negeri Selangor dan Pulau Pinang telah mendahului negeri-negeri lain dalam menarik pelaburan asing dan pengurusan kewangan negeri mendapat pujian dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Apa sahaja keburukan, penyelewengan dan salah guna kuasa yang mereka lakukan, mereka cepat-cepat menuding jari dan melontar kembali segala penyelewengan itu dan melemparkan tuduhan kepada pemimpin-pemimpin pembangkang sebagai langkah menyembunyikan keburukan mereka itu.
Itulah tingkah laku dan tabiat buruk mereka. Kadang-kadang nak ketawa pun ada. Kedudukan Umno-BN kali ini ibarat ‘telur di hujung tanduk’ dan untung sabut timbul, untung batu?
FMT/-
1 ulasan:
Najib tak berani ke tempat lain, kerana dulu dia menang undi pos 241 undi, sekarang dia ada pengundi fix deposit, anak mas di tiga penempatan di Pekan.
Catat Ulasan