16 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Abd Shukur Harun/Harakahdaily/- |
Sidang Dewan Rakyat sudahpun membuka tirainya dan rakyat sedang menunggu-nunggu untuk mendengar perbahasan bermutu dari ahli parlimen yang dipilih oleh mereka, baik oleh Pakatan Rakyat mahupun BN.
Sidang Dewan Rakyat sudahpun membuka tirainya dan rakyat sedang menunggu-nunggu untuk mendengar perbahasan bermutu dari ahli parlimen yang dipilih oleh mereka, baik oleh Pakatan Rakyat mahupun BN.
Lebih-lebih lagi Sidang Dewan Rakyat kali ini adalah sidang pertama selepas PRU ke-13 - di tengah kebangkitan rakyat yang mahukan perubahan, terutamanya membaiki sistem pilihan raya yang didakwa penuh penipuan, integriti kerajaan yang menang tipis dalam PRU itu dan pelbagai lagi.
Sidang kali ini diharapkan berbeza dari sidang di masa lalu, di mana ada ketikanya begitu boring untuk mengikutinya, disebabkan perbahasan yang tidak bermutu, melawak, sindir menyindir, kata-kata kesat dan angkuh serta berlagak seperti samseng dan sebagainya. Ini sama sekali tidak memancarkan sikap keintelektualan sebagai ahli parlimen dan sangat menghampakan rakyat.
Oleh itu, rakyat kini menuntut perbahasan bermutu, bersifat intelektual, berhujah berdasarkan fakta dan lojik serta rasional, bukan hanya emosi dan prejudis serta bermodalkan air liur semata-mata. Saya menujukan hal ini kepada kedua-kedua pihak, baik ahli parlimen dari BN mahupun dari Pakatan Rakyat.
Rakyat mahu mendengar perbahasan mengenai dakwaan penipuan dalam PRU yang lalu, isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dijangka mungkin dikenakan kepada rakyat Malaysia, cukai baru yang lain, isu jerebu, isu harga barang yang meningkat, isu ekonomi seluruhnya, beban hutang negara, isu hak asasi, demokrasi, hubungan antara bangsa dan pelbagai lagi.
Rakyat tidak sekadar mahu mendengar penjelasan menteri atau timbalannya saja, tetapi mahukan perbahasan yang mendalam mengenai pelbagai isu dari ahli parlimen sendiri.
Perbahasan di parlimen sepatutnya bukan lagi mengenai aduan jalan rosak atau masih jalan tanah merah, jambatan uzur, tiada sekolah, tiada klinik dan isu-isu seumpama ini. Justru, masalah ini sepaturnya sudah tidak berbangkit lagi, kerana ini tanggungjawab BN sebagai parti yang telah memerintah lebih setengah abad.
Parlimen adalah tempat perbahasan mengenai perundangan, perancangan masa depan negara, ekonomi, hubungan antara bangsa, percukaian, sumber alam, kedudukan jenayah di seluruh negara dan sebagainya.
Oleh yang demikian ahli parlimen – baru dan lama – mestilah membuat persediaan yang cukup dengan segala fakta dan rujukan sebelum menyampaikan hujah.
Perlulah disedari bahawa masyarakat sekarang terdedah kepada pelbagai maklumat dari pelbagai sumber dan mereka bukan masyarakat masa lalu yang amat terhad sumber maklumat mereka dan tidak bersedia untuk berfikir serta membuat pertimbangan.
Masyarakat masa kini, terutama di kota besar dan semi bandar, adalah masyarakat yang didominasi oleh masyarakat sivil yang berfikiran terbuka dan bersifat critical serta analytical, tidak bersikap pasif, menerima apa saja yang ada. Oleh itu ahli Parlimen mestilah memenuhi aspirasi mereka.
Sementara itu, melihat dari barisan ahli parlimen Pakatan Rakyat yang berjumlah 89 orang itu di mana kebanyakannya terdiri dari golongan muda, profesional dan bersifat versatile. Mereka datang dari pelbagai latar belakang pendidikan, lingkungan, pendedahan dan aliran pemikiran. Sebab itu mereka dijangka mampu mengenengahkan pelbagai isu serta dilihat mempunyai kemampuan besar untuk berhujah.
Mereka itu, antaranya, Rafizi Ramli, Hanipa Maidin, Datuk Takiyudin Hasan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Zairil Khir Johari, Datuk Idris Jauzi, Wong Chen, Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dan lain-lain.
Rafizi Ramli (PKR-Pandan), seorang profesional ekonomi yang banyak mendedahkan isu hangat, dijangka akan menambahkan ‘hangat’ parlimen, terutama mengena isu penipuan dalam PRU.
Beliau yang dianggap ‘Bintang baru Pakatan Rakyat’ yang berani akan bersama Zairil Khir Johari (DAP-Bukit Bendera) yang muncul sebagai pemimpin politik generasi baru, Hanipa Maidin (PAS-Sepang), seorang peguam PAS yang terkenal, Ustaz Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang), agamawan yang bijak berhujah, Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) – seorang peguam, ‘giant killer’ yang telah menewaskan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Selain itu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah (PAS-Kuala Terengganu), seorang arkitek yang mampu berhujah, Wong Chen (PKR-Kelana Jaya), seorang ahli ekonomi dan sangat fasih berbahasa Melayu kerana mendapat pendidikan awal di Kelantan, juga Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz (PKR-Raub) dan lain-lain.
Mereka ini yang akan bersama para tokoh veteran Pakatan diharapkan akan memberikan kesan dan makna yang penting melalui perbahasan mereka.
Sungguhpun beberapa tokoh veteran Pakatan, seperti Muhamad Sabu, Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa, Dr. Dzulkefly Ahmad dan beberapa lagi tokoh lagi tidak berada di parlimen kali ini, namun diharapkan sudah ada pembahas berwibawa seperti peguam Hanipa Maidin, Datuk Kamarudin Jaafar, Mujahid Yusuf Rawa, Rafizi, Ustaz Idris Ahmad, Tony Phua, Khalid Samad, Nurul Ezzah Anwar dan lain-lain. Inilah gandingan lama dan baru ahli Parlimen Pakatan.
Mereka diharapkan menampilkan hujah bermutu kerana mereka adalah suara politik baru Malaysia yang sangat terbuka di mana mereka telah membebaskan diri dari cengkaman politik perkauman dan kelompok.
Oleh itu perbahasan di Parlimen kali ini diharapkan akan menampilkan wajah demokrasi sebenar seperti yang dikehendaki rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan